Isnin, 27 Disember 2021 | 7:12pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Tutup jalan di Hulu Langat 2 jam sehari untuk angkut sampah pukal

SHAH ALAM: Beberapa jalan di sekitar Hulu Langat akan ditutup selama dua jam pada setiap hari Isnin hingga Khamis bagi memudahkan kerja-kerja pembersihan sampah akibat banjir di kawasan perumahan serta bahu jalan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penutupan itu bermula jam 8 hingga 10 pagi kerana berlaku kesesakan yang menghalang lori-lori KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM) sehingga menyebabkan operasi kutipan itu mengambil masa yang lama.

"Pada peringkat awal, kita ingin melaksanakan penutupan itu selama dua hari sahaja namun bagi kawasan Hulu Langat kita melakukan penutupan setiap hari kecuali Jumaat hingga Ahad.

"Ini berikutan jumlah sukaralewan pada tiga hari berkenaan sangat ramai, jadi kita tidak mahu mengganggu kerja sukarelawan," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata kesesakan jalan di lokaliti berkenaan menyebabkan sampah terbiar lama di bahu jalan serta kawasan perumahan.

Katanya, bagi daerah Klang, kerajaan negeri sedang meneliti kemungkinan melaksanakan perkara yang sama (penutupan jalan) di Padang Jawa, Seksyen 16 dan Taman Sri Muda, Seksyen 25.

"Bagaimanapun, ia bergantung kepada kesesuaian dan ia akan umumkan sekurang-kurangnya satu hari awal bagi memudahkan perancangan penduduk sekitar.

"Selain itu, setakat hari ini sebanyak 13,699.55 tan sampah pukal akibat banjir diangkut dengan membabitkan implikasi kewangan RM6.03juta," katanya.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai isu pendaftaran sukarelawan, Amirudin menegaskan langkah itu bagi memudahkan penyelarasan dan keselamatan.

"Ini (pendaftaran) tidak bermaksud kelulusan sebab kerajaan negeri tiada hak untuk membenarkan atau menghalang mana-mana pihak melaksanakan kerja sukarelawan itu.

"Sebelum ini difahamkan dua sukarelawan meninggal dunia akibat lemas dalam membantu proses pemindahan banjir. Kita tidak mahu mereka yang datang sebagai sukarelawan untuk menabur bakti akhirnya menjadi mangsa kepada bencana akibat kekurangan penyelarasan dan koordinasi," katanya.

Berita Harian X