Isnin, 27 Disember 2021 | 4:48pm
Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan pegawai NSTP menyampaikan sumbangan kepada kakitangan NSTP, Asmizan Mohd Samiran bersama isteri dan ibu bapanya yang terkesan akibat banjir di kediamannya di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang. - NSTP/ Ezairi Shamsudin
Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan pegawai NSTP menyampaikan sumbangan kepada kakitangan NSTP, Asmizan Mohd Samiran bersama isteri dan ibu bapanya yang terkesan akibat banjir di kediamannya di Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang. - NSTP/ Ezairi Shamsudin

Kakitangan NSTP terbabit banjir terima sumbangan

KUALA LUMPUR: Seramai empat kakitangan The New Straits Times Press (NSTP) Malaysia yang terbabit banjir baru-baru ini, menerima pelbagai sumbangan menerusi Bantuan Prihatin Banjir NSTP di Shah Alam dan Klang, hari ini.

Sumbangan yang diserahkan termasuk wang tunai RM1,000 hasil sumbangan daripada kakitangan NSTP, Kotak Rezeki Harian Metro yang mengandungi barangan runcit asas serta barangan elektrik.

Selain itu mereka turut menerima sumbangan wang tunai daripada program Titipan Kasih.

Sumbangan kepada empat daripada 16 mangsa banjir itu bertujuan meringankan beban mereka yang terbabit banjir sejak 18 Disember lalu, hasil inisiatif Jabatan Sumber Manusia NSTP dan Jabatan Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan NSTP.

Semua sumbangan itu diserahkan oleh Pengurus Besar Pemasaran, Komunikasi dan Sokongan Jualan NSTP, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif Berita Harian Metro, Muhamad Safar Ahmad; Pengarang Eksekutif Pengeluaran Berita Harian dan Azhar Abu Samah dan Pengurus Jabatan Sumber Manusia NSTP, Melor Mohamed Johar.

Pengarang Berita Kanan Produksi Video NSTP, Asmizan Mohd Samiran, berkata ini kali pertama kejadian banjir di kawasan kediamannya sejak dia menetap di Meru, Klang 42 tahun lalu.

Katanya, air mula naik di rumahnya kira-kira jam 1.30 pagi dan ketika itu dia dan enam ahli keluarga lain sedang tidur apabila menyedari air sudah naik di paras buku lali.

"Jiran kemudian menawarkan kami tinggal di rumahnya sementara waktu," katanya yang berterima kasih dengan bantuan yang diberikan itu.

Pereka Grafik Harian Metro, Ummi Aishah Ahmad Suhaimi, berkata dia tidak menyangka rumah yang didiami sejak 37 tahun lalu dinaiki air sehingga menyebabkan pelbagai kerosakan.

Katanya, Ogos lalu halaman rumahnya di Kampung Kuantan, Klang dinaiki air namun tidak masuk ke dalam rumah dan pada mulanya dia hanya menyangkakan banjir kali ini sama seperti itu.

"Tetapi tidak sangka air naik hingga paras betis dan kerana bimbang air terus naik kami sekeluarga menumpang di rumah kakak di Kampung Jawa dan hanya pulang ke rumah selepas air mula surut," katanya.

Wartawan Harian Metro, Yusmizal Dolah Aling, ketika ditemui di rumahnya di Seksyen 24, Shah Alam berkata ketika kejadian banjir itu dia berada di kampungnya di Mahang, Kedah.

Katanya, dia dimaklumkan mengenai banjir itu oleh jiran dan walaupun cuba untuk pulang melihat keadaan rumah tetapi gagal kerana jalan dinaiki air.

"Alhamdulillah, hanya beberapa perabot yang rosak dan kini hanya perlu bersihkan sedikit saja lagi," katanya yang memaklumkan ini kejadian banjir pertama sejak tinggal di kawasan itu 12 tahun lalu.

Penyunting Harian Metro, Ahmad Fikri Mat Yusoff, berkata ketika banjir pada 18 Disember lalu, dia dan keluarga berada di kampung di Bachok, Kelantan.

Katanya, ketika kumpulan Whatsapp perumahan memaklumkan air semakin naik di rumahnya di Taman Tulip 3, Shah Alam dia mahu pulang ke rumah namun dimaklumkan jalan sudah tutup kerana air naik mendadak.

"Dua hari lalu saya pulang ke rumah dan terkejut melihat keadaan rumah yang tunggang-langgang akibat banjir selain banyak perabot rosak dan perlu dibuang," katanya.

Katanya, dia bersyukur apabila ramai yang datang menghulurkan bantuan termasuk sukarelawan di kawasan perumahan yang membantu membersihkan rumahnya.

Berita Harian X