Isnin, 27 Disember 2021 | 3:30pm

2 kes Omicron jemaah pulang umrah di Pulau Pinang

GEORGETOWN: Pulau Pinang kini mempunyai dua kes jangkitan baharu COVID-19 membabitkan varian Omicron.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia adalah kes import yang dikesan melalui dua individu yang pulang dari Arab Saudi selepas menunaikan umrah.

Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

"Pesakit dijangkiti varian berkenaan selepas kembali dari menunaikan Umrah dan kedua-dua mereka sedang dikuarantin di hospital bagi pemantauan rapi.

"Setakat ini baru dua kes varian Omicron direkodkan di negeri ini dan kerajaan negeri mengambil serius perkara ini serta akan memastikan ia tidak merebak ke dalam masyarakat," katanya di sini, hari ini.

Kon Yeow meminta warga Pulau Pinang supaya mengambil suntikan dos penggalak dan mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa bagi mengelak dijangkiti COVID-19.

Berita Harian X