Isnin, 27 Disember 2021 | 1:28pm
MOTAC bersetuju melanjutkan tempoh kelonggaran syarat diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan berlesen. - Foto fail NSTP
MOTAC bersetuju melanjutkan tempoh kelonggaran syarat diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan berlesen. - Foto fail NSTP

MOTAC lanjut tempoh kelonggaran syarat syarikat pengendali pelancongan

PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersetuju melanjutkan tempoh kelonggaran syarat diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482), bermula 1 Januari 2022 sehingga 30 Jun 2022.

Selain berkaitan kelonggaran dari segi keluasan premis, ia juga membabitkan kelonggaran kebenaran untuk menjalankan perniagaan lain dalam premis syarikat pengendali pelancongan serta tempoh penyewaan premis perniagaan secara 'co-share office space'.

"Kelonggaran ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 5,467 pengusaha pelancongan berlesen yang menjalankan perniagaan agensi pengembaraan," kata MOTAC dalam kenyataan, hari ini.

"Diharapkan kelonggaran diberikan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban dan masalah dihadapi oleh syarikat pengusahaan pelancongan yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19," tambah MOTAC.

Sebelum ini, MOTAC telah melanjutkan tempoh kelonggaran syarat yang diberikan kepada syarikat pengendali pelancongan yang dilesenkan di bawah Akta 482 bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini. – BERNAMA

Berita Harian X