Isnin, 27 Disember 2021 | 10:31am
Orang ramai dinasihatkan menangguh dahulu daripada menziarahi saudara-mara dan kenalan yang baru pulang mengerjakan umrah. - Foto hiasan - AFP
Orang ramai dinasihatkan menangguh dahulu daripada menziarahi saudara-mara dan kenalan yang baru pulang mengerjakan umrah. - Foto hiasan - AFP

Nafi kes varian Omicron di Kota Setar

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan terdapat kes varian Omicron di daerah Kota Setar membabitkan individu yang baru pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan ibadat umrah.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo, berkata orang ramai bagaimanapun, tetap dinasihatkan menangguh dahulu daripada menziarahi saudara-mara dan kenalan yang baru pulang dari negara berkenaan.

"Nasihat saya adalah selari dengan gesaan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. Individu yang baru pulang daripada menunaikan umrah dan dibenarkan kuarantin di rumah perlu patuh dengan arahan Kementerian Kesihatan (KKM), dalam tempoh pengasingan ini tidak perlu terima tetamu.

"Walaupun setakat ini tiada kes disahkan dijangkiti varian Omicron di daerah Kota Setar, orang ramai tetap perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej tular yang menyatakan terdapat kes varian Omicron membabitkan individu yang pulang dari menunaikan umrah.

Kelmarin, media melaporkan mulai minggu depan, semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi akan diwajibkan memakai peranti digital bagi memastikan mereka mematuhi SOP kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata daripada keseluruhan 49 kes Omicron dikesan, 30 membabitkan mereka yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

Katanya, kebanyakan individu terbabit yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, didapati tidak mematuhi arahan itu, malah menerima tetamu ketika dalam tempoh kuarantin.

Berita Harian X