Ahad, 26 Disember 2021 | 8:49pm
Lebih 2,000 warga kerja TNB di seluruh Semenanjung berusaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset bekalan TNB (pencawang elektrik, kabel, tiang elektrik) yang terjejas akibat bencana. - Foto hiasan TNB
Lebih 2,000 warga kerja TNB di seluruh Semenanjung berusaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset bekalan TNB (pencawang elektrik, kabel, tiang elektrik) yang terjejas akibat bencana. - Foto hiasan TNB

RM9 juta untuk rebat sekali beri mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Keputusan segera Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi rebat 100 peratus secara sekali beri (one-off) bagi bil elektrik bulan Disember 2021 kepada 72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas akibat banjir, didorong rasa kebersamaannya dengan rakyat yang juga pelanggannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din, berkata keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan dan pertimbangan Perdana Menteri, sekali gus ia adalah persetujuan bersama kerajaan bagi menyantuni mangsa banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din

"Warga kerja TNB juga adalah ahli komuniti dalam pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus sentiasa dapat merasai bersama perasaan rakyat yang juga pelanggan kami. Pemberian rebat dan peruntukan yang disediakan sebelum ini mencerminkan nilai-nilai teras warga TNB termasuk keprihatinan, di samping rasa kebersamaannya dengan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian rebat itu kepada 72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas dilanda bencana alam di negeri-negeri terbabit dengan peruntukan kecemasan tambahan sebanyak RM9 juta.

Baru-baru ini TNB sudah pun mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi tujuan kerja-kerja pemulihan di samping RM2 juta lagi dalam bentuk bantuan kewangan melalui Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP).

Lebih 2,000 warga kerja TNB di seluruh Semenanjung berusaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset bekalan TNB (pencawang elektrik, kabel, tiang elektrik) yang terjejas akibat bencana.

Ir. Baharin berkata, nilai keprihatinan warga kerja TNB turut mendorong syarikat utiliti itu menerajui inisiatif pemeriksaan pendawaian secara percuma bagi kediaman golongan B40 yang teruk dilanda banjir bagi meringankan beban mereka.

Langkah itu, katanya, adalah satu daripada pendekatan untuk mempercepatkan usaha penyambungan bekalan elektrik secara selamat, sekali gus mencerminkan pula nilai mengutamakan pelanggan yang menjadi keutamaan TNB.

Dalam perkembangan berkaitan, Ir Baharin turut memaklumkan hingga pagi ini, lebih 90 peratus iaitu 1,973 daripada 2,110 aset bekalan elektrik TNB yang terjejas dan dihenti tugas sejak banjir melanda Sabtu lalu, telah dapat dipulihkan.

Berita Harian X