Ahad, 26 Disember 2021 | 5:35pm
Kampung Palimbayan di Sungai Penchala antara sembilan lokasi tanah runtuh di Kuala Lumpur dan Selangor yang dikategorikan pada tahap kritikal. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Kampung Palimbayan di Sungai Penchala antara sembilan lokasi tanah runtuh di Kuala Lumpur dan Selangor yang dikategorikan pada tahap kritikal. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

46 lokasi tanah runtuh di Selangor, KL, 9 kritikal - JMG

KUALA LUMPUR: Sebanyak 46 lokasi tanah runtuh dilaporkan di Selangor dan Kuala Lumpur dengan sembilan daripadanya dikategori pada tahap kritikal setakat hari ini, menurut Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).

Laporan Kejadian Tanah Runtuh Monsun Timur Laut yang dikeluarkan JMG hari ini memaklumkan sembilan lokasi tanah runtuh itu membabitkan dua lokasi di sini, iaitu Kampung Palimbayan di Sungai Penchala dan Taman Duta di Seri Duta.

Selebihnya adalah di Selangor iaitu Taman Nusa, Subang; Apartment Teratai, Selayang; Jalan Bunga Anggerik, Taman Melawati; Jalan Melati 7, Taman Seri Melati; Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang; Jalan Saidina Hamzah, Kampung Bukit Sungai Puteh, Ampang; dan Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar, Klang.

Kesemua kawasan kritikal itu termasuk 36 lokasi tanah runtuh yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, malah JMG telah membuat penilaian serta menjalankan pemantauan berterusan di tapak kejadian tanah runtuh berkenaan.

Menurut laporan itu, 10 lagi tapak kejadian tanah runtuh sedang dalam tindakan secara berperingkat mengikut keutamaan antaranya membabitkan kawasan di Taman Keramat dan Jalan Kia Peng, di sini.

Selain itu di Selangor membabitkan antaranya Taman Zooview; Riverdale Park Apartment, Ampang; Jalan Wangsa 1; Taman Melur, Ampang; Kampung Sungai Kelambu, Banting; Ukay Perdana, Ulu Klang; Jalan Selayang-Rawang; Jalan Banglo, Batu Arang. – BERNAMA

Berita Harian X