KOTA BHARU: Beberapa kampung di Rantau Panjang masih dilanda banjir termenung menyebabkan ratusan penduduk tidak dapat pulang ke rumah masing-masing.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, berkata antara kampung yang masih menghadapi banjir termenung termasuk Tok Deh, Gual Periok, Padang Licin, Putat Tujoh dan Kubang Kual.
Sehubungan itu beliau menasihatkan penduduk di kampung terbabit supaya menjaga diri dan tidak keluar untuk bermain air banjir.
"Kita bimbang kerana paras air masih lagi tinggi dan membahayakan nyawa jika masyarakat terutama kanak-kanak bermain banjir.
"Pihak kita tidak mahu perkara yang tidak diingini terjadi kepada penduduk kerana boleh membawa maut," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan kerap dilanda banjir juga diminta sentiasa bersedia kerana jangkaan monsun timur laut ini sehingga awal tahun hadapan.
Menurutnya, mereka dinasihatkan supaya meletakkan barangan berharga terutama dokumen pengenalan diri di tempat yang selamat dan mudah diambil jika berlaku banjir.
"Pada masa yang sama, pasukan bomba dan penyelamat Kelantan sentiasa bersiap siaga untuk membantu mangsa banjir termasuk memindahkan mereka ke lokasi selamat.
"Selain itu, pihak kita juga membantu kerajaan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan agensi lain untuk mengagihkan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas," katanya.