Ahad, 26 Disember 2021 | 12:45pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau kawasan yang terjejas banjir pada Program Gotong Royong Keluarga Malaysia di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau kawasan yang terjejas banjir pada Program Gotong Royong Keluarga Malaysia di Taman Sri Nanding, Hulu Langat, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Pasukan petugas urus pasca banjir, gelombang kedua ditubuhkan

HULU LANGAT: Kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan pasca banjir serta persediaan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, pasukan itu akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan dianggotai beberapa agensi yang terbabit dalam pengurusan bencana, antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Tegasnya, pasukan itu akan dipertanggungjawab mempermudahkan segala urusan pasca banjir, khususnya membabitkan penyaluran bantuan serta proses baik pulih kediaman mangsa banjir.

"Kerja pasca banjir memang lebih besar dan rumit kerana ia membabitkan kerja pembersihan, pembahagian sumbangan, baik pulih rumah dan sebagainya.

"Proses ini memerlukan koordinasi dan kerjasama yang tegap dan sempurna daripada semua agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya, baru ia dapat disegerakan.

"Penubuhan pasukan ini penting kerana saya tidak mahu ada sebarang kelewatan dalam usaha membantu mangsa banjir," katanya pada sidang media di Masjid Al-Muttaqin di sini, hari ini.

Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu juga akan membuat persediaan rapi bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir, berikutan ramalan cuaca menunjukkan akan berlakunya hujan lebat di beberapa negeri.

Beliau juga mahu pasukan terbabit membuat keputusan sepantas mungkin, dan memulakan mesyuarat pertama seawal esok bagi mengelakkan kelewatan bantuan sampai kepada mangsa.

Jalan raya utama di Kampung Sungai Lui yang musnah akibat arus deras Sungai Langat, 22 Disember 2021. - NSTP/Aizuddin Saad
Jalan raya utama di Kampung Sungai Lui yang musnah akibat arus deras Sungai Langat, 22 Disember 2021. - NSTP/Aizuddin Saad

Pemandangan dari udara menunjukkan kenderaan mangsa banjir yang ditinggalkan di tempat tinggi di sekitar Bukit Rangin, Kuantan, 20 Disember 2021. - NSTP/Farizul Hafiz Awang
Pemandangan dari udara menunjukkan kenderaan mangsa banjir yang ditinggalkan di tempat tinggi di sekitar Bukit Rangin, Kuantan, 20 Disember 2021. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Kawasan terjejas akibat banjir di Shah Alam. 19 Disember 2021. - NSTP/Asyraf Hamzah

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menggesa semua agensi, jabatan dan kementerian menyegerakan segala urusan berkaitan pengurusan mangsa banjir dan mempermudahkan penyaluran sumbangan.

"Saya tak mahu kerenah birokrasi yang akhirnya menyusahkan orang ramai, sedangkan mangsa banjir memang dalam keadaan susah.

"Jangan kita menambah kesusahan mereka, sedangkan kerajaan sudah menyediakan peruntukan mencukupi untuk membantu mangsa banjir," katanya, memaklumkan akan mempertimbang cadangan memudahkan permohonan bantuan secara dalam talian.

Berita Harian X