Sabtu, 25 Disember 2021 | 11:26pm
Mangsa banjir, Wahyudi Rahmat, 34, membuang komputer peribadinya yang rosak akibat banjir di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Mangsa banjir, Wahyudi Rahmat, 34, membuang komputer peribadinya yang rosak akibat banjir di Batu 18, Kampung Jawa, Hulu Langat. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Mangsa banjir di PPS 5 negeri terus menurun

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di 233 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri menurun kepada 37,526 orang pada 10 malam ini, berbanding 40,738 orang mangsa di 257 PPS pada 6 petang tadi.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semua mangsa membabitkan 11,019 keluarga.

Di SELANGOR, aplikasi InfoBencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 16,743 membabitkan 3,693 keluarga di 87 PPS berbanding 16,953 mangsa yang ditempatkan 88 PPS petang tadi.

Sukarelawan membantu mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Sukarelawan membantu mangsa banjir di Kampung Dusun Tua, Hulu Langat. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat yang dijangka di lima daerah iaitu di Gombak; Hulu Selangor; Petaling; Hulu Langat dan Sepang hingga 11 malam ini.

Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan seramai 21,726 mangsa banjir masih ditempatkan di 148 PPS di daerah Kuantan, Bera, Pekan, Maran, Temerloh dan Bentong setakat 8 malam ini.

Sekreteriat itu turut memaklumkan 36 jalan masih ditutup di empat daerah, antaranya di Temerloh membabitkan Jalan Kuala Lumpur-Kuantan, Jalan Gemas-Temerloh dan Jalan Temerloh-Mentakab, selain di Pekan melibatkan Jalan Teluk Ganchong Lepar, Pelak-Belimbing dan Jalan Mentiga Terapai.

Di daerah Maran, antara jalan ditutup ialah Jalan Pekan Sehari Kampung Awah, Jalan Serengkam dan Jalan Kampung Wau/Kertau, manakala di Bera melibatkan Jalan Gemas-Temerloh, Jalan Bohor Bahru, Jalan Charuk Puting-Guai selain Jalan Triang Satu.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula menyatakan tiga sungai kekal berada di paras melebihi bahaya iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Bera (Bera), dengan trend menurun setakat 8.30 malam.

Banjir di Kampung Tersang, Kota Bharu semakin surut. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Banjir di Kampung Tersang, Kota Bharu semakin surut. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Di KELANTAN setakat 10 malam ini jumlah mangsa banjir kekal seramai 685 orang daripada 222 keluarga membabitkan lima PPS, semuanya di jajahan Pasir Mas.

Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya manakala dua sungai berada paras waspada iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Sungai Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu adalah 203 individu daripada 56 keluarga, dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat malam ini.

Di MELAKA jumlah mangsa banjir kekal 29 daripada sembilan keluarga setakat 8 malam ini.

Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata hanya satu PPS dibuka, iaitu di Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu Kampung Parit Penghulu di Jasin.

"Kesemua mangsa kini berada di PPS tersebut manakala di Alor Gajah, semua PPS telah ditutup," katanya dalam kenyataan hari ini. – BERNAMA

Berita Harian X