Sabtu, 25 Disember 2021 | 6:13pm

Banjir makin pulih semua PPS di KL, Perak tutup

KUALA LUMPUR: Bencana banjir di tujuh negeri semakin pulih apabila keseluruhan pusat pemindahan sementara di Kuala Lumpur dan Perak ditutup sepenuhnya.

  Perkembangan itu dikongsikan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut menyenaraikan sebanyak 254 PPS masih beroperasi di lima negeri, iaitu Pahang, Kelantan Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

  Angka harian mangsa banjir di lima negeri itu juga mencatatkan penurunan kepada 11,793 keluarga membabitkan 40,408 individu, hingga jam 5.30 petang tadi.

PPS diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald, Shah Alam, ditutup petang ini setelah semua penduduk terjejas banjir pulang ke kediaman masing-masing. - NSTP/ASYRAF HAMZAH

Kemas kini terbaru menunjukkan sebanyak 155 PPS masih beroperasi di Pahang bagi menempatkan 22,449 mangsa, masing-masing 8,117 lelaki, 7,661 wanita, 9,709 kanak-kanak dan 750 bayi.

Seramai 16,953 mangsa pula berlindung di 88 PPS di Selangor, masing-masing terdiri daripada 5,901 lelaki, 5546 wanita, 5,154 kanak-kanak dan 352 bayi.

Lima PPS masih beroperasi di Kelantan bagi menempatkan 685 mangsa terdiri daripada 224 lelaki, 231 wanita, 219 kanak-kanak dan 11 bayi, manakala hanya satu PPS dibuka di Melaka bagi memberi perlindungan kepada 29 mangsa yang terdiri daripada sembilan lelaki, tujuh wanita serta13 kanak-kanak.

Seramai 292 mangsa terdiri daripada 95 lelaki, 107 wanita, 83 kanak-kanak dan tujuh bayi ditempatkan di empat PPS yang masih beroperasi di Negeri Sembilan.

Pusat pemindahan sementara yang diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald ditutup mulai petang ini. - NSTP/Asyraf Hamzah
Pusat pemindahan sementara yang diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald ditutup mulai petang ini. - NSTP/Asyraf Hamzah

Mengenai kejadian tanah runtuh pula, portal Info Bencana JKM merekodkan dua PPS dibuka bagi menempatkan 133 mangsa di Batu 11, Gombak, Selangor dan Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang terjejas akibat insiden terbabit.

Portal berkenaan turut melaporkan satu kejadian kebakaran di Kuala Lumpur, membabitkan 12 mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS dengan kapasiti 200 orang di Dewan 4B Sri Johor, Cheras.

Sementara itu, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) memaklumkan status aras air dua empangan di Kuala Lumpur dan Sungai Langat di TNB Pangsun, Hulu Langat, Selangor berada pada bacaan normal.

Bagaimanapun, paras Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat dan Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor di tahap waspada.

Perkongsian sama menyaksikan lima sungai di Pahang di tahap waspada, masing-masing di Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub; Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong; Sungai Pahang di Temerloh dan Sungai Jengka di Kampung Jengka Batu 13, Maran.

Tiga sungai di Pahang berada pada paras bahaya, iaitu Sungai Bera, Bera serta Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran, manakala satu lagi sungai iaitu Sungai Pahang di Paloh Inai dicatatkan pada bacaan amaran.

Tujuh sungai lain, masing-masing dua di Johor Melaka dan Sarawak serta satu di Kelantan turut mencatatkan bacaan pada paras waspada.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (tengah) ketika menyertai Skuad Principal BERSATU Membantu Membersih Rumah Mangsa Banjir anjuran BERSATU Negeri Selangor & Srikandi Selangor di Kampung Jawa, Hulu Langat.

Berita Harian X