Sabtu, 25 Disember 2021 | 5:20pm
Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid pada sidang media perkembangan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri
Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohamad Hamdan Wahid pada sidang media perkembangan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam, hari ini. - NSTP/Rohanis Shukri

Pusat Kawalan Operasi Bencana terus dibuka bantu mangsa banjir

SHAH ALAM: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di Taman Sri Muda di sini, tidak akan ditutup sehingga penduduk di kawasan terjejas banjir kembali memulakan kehidupan mereka.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata pihaknya belum menutup PKOB bagi menyelaras bantuan untuk penduduk terjejas yang memerlukan bantua.

"Kita akan terus buka hingga Sabtu depan kerana yang datang ke sini bukan sahaja yang hilang tempat tinggal atau meminta selamatkan, mereka sebenarnya hendak minta bantuan, kita terus bagi bantuan keperluan. Bantuan yang kami terima termasuk sumbangan badan amal.

"Ia akan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, kemudian kita kena selaraskan semua bantuan itu. Jadi, bomba tidak tutup PKOB sebab ia masih relevan.

"Sehingga dapat bukti bahawa kawasan mereka betul-betul selamat dan mereka dapat mulakan semula kehidupan, baru kita dapatkan kebenaran Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk tutup," katanya pada sidang media di Pusat Media Bergerak, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, memandangkan sekarang dalam tempoh pasca banjir, bomba turut membantu membersihkan kediaman dan membuang sampah daru rumah mangsa termasuk peralatan dan kelengkaman yang rosak.

Selain itu, katanya, PKOB juga menjadi tempat mangsa banjir mendapatkan bekalan makanan memandang bekalan elektrik di rumah mereka belum pulih sepenuhnya menyebabkan peti sejuk tidak berfungsi dan mereka tidak boleh memasak di rumah.

"Jadi, makanan disediakan di sini. Dari segi sumber makanan pula, kita sangat berhati-hati dan memastikan sumbangan makanan kepada mangsa adalah bersih selamat dimakan. Bantuan diberikan tanpa mengira latar belakang mangsa, tiada pilih kasih.

"Ramai pengawai dan anggota kami di sini, mereka bermalam di sini, di balai, juga ibu pejabat. Mereka bertugas bergilir-gilir menjaga tempat ini," katanya mengingatkan mangsa banjir yang pulang ke rumah agar mengutamakan keselamatan semasa menggunakan peralatan elektrik seperti soket atau suis ditenggelami air sebelum ini.

Berita Harian X