Sabtu, 25 Disember 2021 | 4:32pm
Pokok Krismas yang rosak dibuang oleh penduduk selepas dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Taman Sri Muda hari ini.
Pokok Krismas yang rosak dibuang oleh penduduk selepas dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Taman Sri Muda hari ini.

Krismas disambut sederhana, doa untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Walaupun terbatas dengan norma baharu kerana prosedur operasi standard (SOP) bagi mengawal penularan COVID-19 dan musibah banjir yang melanda beberapa negeri, perayaan Krismas tetap disambut secara sederhana di seluruh negara.

Berpaksikan semangat Keluarga Malaysia, terselit doa agar dikurniakan kemudahan dan kesejahteraan kepada mangsa banjir oleh penganut Kristian ketika mereka menjalani upacara sembahyang di gereja.

Tinjauan Bernama mendapati penganut agama Kristian mengunjungi gereja seawal pagi mengikut kapasiti dibenarkan dengan mengenakan pakaian berwarna-warni.

Lebih manis tahun ini, perantau boleh menyambutnya bersama keluarga dan sanak saudara berbanding tahun lalu, perayaan ini disambut ketika negara masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tidak ketinggalan mereka mengambil kesempatan berkunjung ke tempat-tempat percutian bagi menghabiskan cuti perayaan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kemas kini Facebook pagi tadi turut menitipkan ucapan Krismas kepada Keluarga Malaysia yang menyambutnya.

"Semoga sambutan Hari Natal kali ini menyatupadukan kita serta melimpahkan rasa sayang yang penuh bermakna," katanya.

Di SELANGOR, sambutan Krismas di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini suram memandangkan hampir semua penduduknya sibuk dengan aktiviti pembersihan pascabanjir selepas terkesan dengan banjir yang berlaku sejak Sabtu lalu.

Penganut Kristian, Anthony De Souza membersihkan rumah selepas kawasan kediamannya dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Taman Sri Muda hari ini. -foto BERNAMA
Penganut Kristian, Anthony De Souza membersihkan rumah selepas kawasan kediamannya dilanda banjir baru-baru ini ketika tinjauan di Taman Sri Muda hari ini. -foto BERNAMA

Malah, tinjauan di beberapa gereja di sekitar Taman Sri Muda dan Kota Kemuning di sini juga mendapati tiada aktiviti keagamaan dijalankan dan seorang Pastor yang enggan dikenali dari Kota Kemuning Assembly of God ketika dihubungi berkata pihaknya berusaha menghubungi bagi mengetahui keadaan ahli mereka yang terkesan dan akan menghulurkan bantuan diperlukan.

Di PAHANG, cuaca baik selepas negeri ini dilanda hujan lebat hingga mengakibatkan banjir minggu lepas membolehkan rakyat pelbagai kaum yang menyambut Krismas mengunjungi gereja St Thomas, di Jalan Gambut, Kuantan bagi menjalankan upacara keagamaan.

Orang ramai tidak putus mengunjungi gereja berkenaan sejak 9.30 pagi dengan kebanyakan mereka mengenakan pakaian berwarna merah.

Sementara itu, orang ramai pula dilihat mengambil kesempatan mengunjungi pusat beli-belah dan kelihatan merakamkan gambar serta video bersama dekorasi sempena hari Krismas.

Di PERAK, penganut agama Kristian dilihat mula mengunjungi Church of Our Lady of Lourdes di Ipoh seawal 7 pagi dengan ada berpakaian tradisional sempena sambutan Hari Krismas bersama ahli keluarga dan saudara.

Seorang pesara kerajaan Santiago Samathanam, 66, berkata dia datang bersama dua saudaranya untuk menyertai upacara keagamaan yang hanya dibenarkan kepada individu telah lengkap dua dos vaksin COVID-19 dan mengikut sesi secara berperingkat ditetapkan menerusi janji temu bagi mengawal jumlah pengunjung.

"Hari ini kami ingin berdoa untuk mangsa banjir yang teruk melanda negara hingga menyebabkan puluhan mangsa meninggal dunia supaya mereka selamat," katanya ditemui hari ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Gereja Visitation, Jalan Yam Tuan, Seremban yang berusia 173 tahun adalah antara gereja tertua di Semenanjung Malaysia menjadi tumpuan penganut Kristian di negeri ini sejak 9 pagi tadi bagi melaksanakan upacara keagamaan.

Ketua Paderi Gereja Visitation, Father Xavier Andrew berkata sambutan Krismas pada tahun ini amat bermakna kerana berpeluang menyambut dan meraikan Krismas di gereja bersama dengan orang ramai biarpun secara sederhana.

Orang ramai melancong dalam negara dan meluangkan masa bersama keluarga sambil mengayuh basikal sempena cuti Krismas dan cuti sekolah ketika tinjauan di Lebuh Armenian, Georgetown. - Foto NSTP/Mikail Ong
Orang ramai melancong dalam negara dan meluangkan masa bersama keluarga sambil mengayuh basikal sempena cuti Krismas dan cuti sekolah ketika tinjauan di Lebuh Armenian, Georgetown. - Foto NSTP/Mikail Ong

Di JOHOR, penganut Kristian mula tiba di Gereja Immaculate Conception, Johor Bahru seawal 7.30 pagi dengan memakai pakaian berwarna-warni.

Paderi gereja berkenaan Claurence Motoyou berkata hanya 200 orang sahaja dibenarkan masuk pada satu masa ke dalam gereja mengikut SOP ditetapkan, selain telah menerima vaksin lengkap.

Sementara itu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengucapkan salam Krismas kepada semua rakyat malaysia yang menyambut perayaan tersebut.

"Selamat Hari Krismas. Semoga kediaman anda semua dipenuhi dengan kasih sayang, aman dan gembira," titah Sultan Ibrahim di laman Facebook rasmi baginda.

Di KOTA KINABALU, sambutan Krismas pada tahun ini amat bermakna buat Sherell Ann Jeffrey, 42, apabila dapat bersama-sama keluarganya menyediakan menu tradisi setiap kali perayaan iaitu masakan kurma ayam.

Berasal dari Tamparuli, dia bersyukur kerana tahun ini dapat menyambut krismas di kediaman keluarganya apabila tidak dapat menyambut perayaan itu pada tahun lepas berikutan PKP.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor dalam perutusan sempena sambutan Krismas 2021 dan Tahun Baharu 2022 berharap sambutan Krismas pada tahun ini akan mengukuhkan perpaduan, toleransi beragama dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama di negeri itu.

Di SARAWAK, SOP ketat di gereja dipratikkan apabila aktiviti sembahyang dihadkan dengan bilangan kehadiran sebanyak 50 peratus saiz rumah ibadat selain aktiviti rumah terbuka juga hanya dibenarkan buat keluarga terdekat sahaja.

Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam perutusan Hari Krismas berharap warga Sarawak yang meraikan perayaan itu dapat menyambutnya dalam suasana ceria di samping keluarga.

"Saya menyeru kepada saudara dan saudari untuk terus patuh kepada SOP ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) pada musim perayaan ini.

"Walaupun kadar jangkitan harian di Sarawak sudah menurun kepada dua angka, saya amat berharap kita terus berjaga-jaga dan memastikan suasana di sekeliling kita selamat untuk kita dan orang lain di sekitar kita," katanya.

– BERNAMA

Berita Harian X