Sabtu, 25 Disember 2021 | 4:18pm
Mohamad Hamdan pada sidang media mengenai perkembangan keadaan banjir di pusat operasi banjir Pusat Kawalan Operasi Banjir Taman Sri Muda, Shah Alam. - Foto NSTP/Rohanis Shukri
Mohamad Hamdan pada sidang media mengenai perkembangan keadaan banjir di pusat operasi banjir Pusat Kawalan Operasi Banjir Taman Sri Muda, Shah Alam. - Foto NSTP/Rohanis Shukri

Bomba cari 5 mangsa hilang guna anjing pengesan

SHAH ALAM: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima mangsa banjir yang masih hilang di Pahang hingga jam 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata lima mangsa dilaporkan hilang itu dikenal pasti penduduk sekitar Kampung Tanjung dan Telemong (Bentong), Laman Pesona Cheroh (Raub) serta Taman Tas (Kuantan).

Terdapat 46 kematian (akibat banjir) yang mana dalam rekod bomba 32 kes yang kita respon. Bomba juga masih menjalankan operasi (mencari dan menyelamat) lima masih belum dijumpai.

"Ada tempat kita temui mangsa semalam cukup mencabar, ...kerana kita lihat apabila air surut batang kayu, sampah, selut, belukar termasuk bahan binaan musnah dan sebagainya.

"Semalam, kita menemui mayat mangsa sedalam 3.65 meter (12 kaki) di bawah banjir Lumpur dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

"Anjing ini berjaya mengesan kedudukan mayat, mengenal pasti kawasan itu dan bila bomba gali, betul ada mayat mangsa di situ," katanya di Pusat Media Bergerak, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

Mohammad Hamdan berkata, jumlah keseluruhan anjing unit K9 yang dikerahkan adalah 24 ekor.

"Empat ekor anjing (wilderness) bagi mengesan mangsa dalam air, di bawah selut, lumpur. Kita gerakkan di Pahang yang mana ia membabitkan banjir lumpur," katanya.

Sementara itu katanya, JBPM turut menjalankan pemantauan menyeluruh di lokasi berisiko banjir Pahang, Sarawak dan Selangor. Pemantauan itu ditumpukan pada 34 kawasan di Sarawak, Selangor (20) dan Pahang (17)," katanya sambil menambah pihaknya turut bersedia kemungkinan gelombang kedua banjir.

Berita Harian X