KUALA LUMPUR: Hampir 12 jam terperangkap di dalam sebuah pasar raya di Seksyen 13, Shah Alam, seramai 31 individu terdiri daripada pelanggan dan pekerja di situ diselamatkan sepasukan anggota bomba dan dibawa ke tempat selamat.
Menceritakan detik itu, Asmah Hashim, 52, berkata beliau bersama suami serta seorang anak berusia 18 tahun pada mulanya singgah ke pasar raya berkenaan untuk membeli sedikit barangan.
"Pada masa itu, lebih kurang jam 3 petang, hujan tidak berapa lebat dan kami dari Seri Petaling hendak pulang ke Saujana Utama sebelum singgah di pasar raya Giant untuk beli barang dan mengalas perut.
"Tidak sampai sejam, pihak pasar raya umumkan terpaksa menutup operasi perniagaan dan kami tertanya-tanya apa yang berlaku sebelum suasana menjadi agak kelam kabut apabila air deras mula membanjiri luar pasar raya dan melimpah masuk ke bangunan," katanya kepada BH.
Katanya, dalam masa singkat, air banjir meningkat sehingga beberapa meter menyebabkan ramai pelanggan terperangkap dan mereka dibawa ke tingkat atas pasar raya yang menempatkan ruang pejabat.
"Pada mulanya, ada anggota bomba datang membuat pemantauan. Namun, melihat kami berada di tempat selamat, mereka beredar untuk menyelamatkan mangsa lain yang lebih memerlukan.
"Kira-kira jam 10 malam, bekalan elektrik terputus dan hanya lampu kecemasan menyala. Kira-kira jam 3 pagi, petugas pasar raya beritahu semua perlu meninggalkan bangunan disebabkan khuatir paras air akan terus meningkat, selain bateri lampu kecemasan juga semakin lemah dan pihak bomba dimaklumkan," katanya.
Beliau amat berterima kasih kepada pasukan bomba yang datang ke lokasi dengan segera sebaik menerima maklumat dan semuanya berjaya dipindahkan dengan bot ke pusat pemindahan sementara (PPS) Politeknik Shah Alam.
"Bomba amat berhati-hati ketika mengemudikan bot membawa kami kerana keadaan amat gelap dan dalam air banjir, banyak barang dan kenderaan yang tenggelam.
"Walaupun hanya satu bot digunakan dan boleh memuatkan lapan hingga sembilan orang, kami semua akhirnya berjaya diselamatkan sebelum bomba meneruskan tugas menyelamatkan mangsa lain," katanya.
Sementara itu, Aisyah Abdullah, 37 dan jirannya, Lini Ibrahim, 41, yang tinggal di Kampung Tengah, Puchong, berkongsi kelegaan apabila mereka serta empat anak berusia lima tahun hingga 11 tahun diselamatkan anggota bomba selepas lebih seharian menunggu diselamatkan.
"Kami amat berterima kasih kepada anggota bomba kerana datang menyelamatkan kami dalam situasi yang amat mendesak kerana apa yang kami risaukan adalah keselamatan anak.
"Inilah detik paling ngeri dan memeritkan untuk kami. Kalau boleh, kami tak mahu ingat situasi semasa itu, mujur Allah SWT datangkan anggota bomba bersama bot penyelamat, pindahkan kami ke tempat selamat," katanya.
Mereka kini ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 23, Subang Jaya, sejak Ahad lalu.
Cerita mereka, air banjir naik mendadak dalam tempoh beberapa jam dan terpaksa menunggu lebih seharian untuk diselamatkan kerana bomba memberikan tumpuan menyelamatkan ibu mengandung, bayi dan warga emas serta orang kurang upaya (OKU) terlebih dahulu.
Rosnah Ismail dalam Facebooknya menceritakan detik cemas terperangkap di kediamannya di Taman Sri Muda bersama suami dan seorang anak lelakinya berusia belasan tahun apabila banjir besar berlaku di kawasan itu, Sabtu lalu.
"Ketika Subuh, saya jenguk tingkap air sudah naik ke bumbung. Allahuakhbar, saya perhati ramai jiran yang sudah pecahkan tingkap dan jeriji untuk minta bantuan. Kami pun buat perkara yang sama.
"Sehabis daya kami jerit pekik minta tolong dan kibarkan apa sahaja, lampu telefon bimbit dan bertambah down dan sedih apabila menjelang malam, anak demam panas teruk. Tiada ubat, apatah lagi air dan makanan," katanya.
Rosmah berkata, anggota bomba menyelamatkan jiran yang mempunyai anak kecil dan mereka sekeluarga terpaksa menunggu selama tiga hari untuk diselamatkan sehingga ada ketikanya, terpaksa menjamah makanan basi.
"Alhamdulillah, penantian selama tiga hari, kami lega bila bot besar bomba lalu dan terdengar doa kami.
"Besarnya rahmat apabila dapat keluar dari 'gua' dan siapa yang merasai, pasti tahu apa perasaannya ketika diselamatkan dan dibawa ke tempat selamat.
"Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menularkan, berkongsi kisah kami terperangkap di Twitter, Instagram.
"Tidak lupa kepada 'abang bomba' dan semua pihak yang membantu. Allah sahaja yang membalas jasa kalian," katanya.