Sabtu, 25 Disember 2021 | 2:41pm
Ahmad Hamzah (dua kiri) membantu misi bantuan banjir di Lubok China, Melaka. NSTP/Foto Nazri Abu Bakar
Ahmad Hamzah (dua kiri) membantu misi bantuan banjir di Lubok China, Melaka. NSTP/Foto Nazri Abu Bakar

Tujuh ladang babi disahkan positif ASF

MELAKA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan kejadian penyakit African Swine Fever (ASF) berlaku di ladang babi komersial di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata sehingga semalam, tujuh ladang disahkan positif penyakit ASF dengan jumlah populasi sebanyak 5,438 ekor.

Beliau berkata, DVS Negeri Melaka melakukan bedah siasat ke atas babi mati dan sampel organ seperti tonsil, hati, ginjal, jantung, limpa, nodus limfa dan paru-paru dihantar ke Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi, pada 18 Disember, untuk pengesahan penyakit.

Katanya, kematian babi disahkan positif penyakit ASF dalam keputusan makmal yang diterima pada 20 Disember 2021.

"Tindakan sudah dan sedang dilaksanakan oleh DVS bagi membendung, mengawal dan membasmi rebakan penyakit ASF termasuk notis bawah Seksyen 18 (2) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang dikeluarkan kepada pemilik ladang babi terbabit.

"Justeru, ternakan tidak dibenarkan dipindah keluar bagi membolehkan DVS menjalankan pemeriksaan dan ujian penyakit berkuat kuasa mulai 20 Disember 2021.

"Bagi ladang yang disahkan positif penyakit ASF, tindakan pemusnahan semua ternakan akan dijalankan oleh DVS. Sementara bagi ladang lain, ternakan babi yang sihat dibenarkan untuk disembelih di rumah sembelih Paya Mengkuang setelah pemeriksaan dilakukan," katanya pada majlis bantuan banjir di Lubok China, hari ini.

Daging babi terbabit bagaimanapun dibenarkan untuk kegunaan negeri Melaka sahaja dan tiada karkas dibenarkan keluar ke negeri lain.

Ahmad berkata, penyiasatan dan pemantauan lanjut di kawasan Paya Mengkuang sedang dijalankan bagi mengekang rebakan ASF.

Katanya, terdapat 35 ladang babi komersial membabitkan 26 penternak di Paya Mengkuang dengan jumlah populasi terkini 41,913 ekor.

Pada masa sama, DVS juga menjalankan pemeriksaan dan persampelan ke atas semua 35 ladang di mana semua sampel yang diambil (darah atau organ) dihantar ke Makmal Veterinar Zon Tengah, Salak Tinggi untuk pengesahan penyakit.

Beliau berkata, penyakit ASF tidak zoonotic dan tidak berjangkit kepada manusia, ia hanya boleh menjangkiti babi yang diternak atau babi hutan.

Berita Harian X