Sabtu, 25 Disember 2021 | 10:47am
Khairy pada sidang media, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Khairy pada sidang media, hari ini. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pengembara pulang dari Arab Saudi bakal wajib pakai peranti digital

PUTRAJAYA: Mulai minggu depan, semua pengembara yang pulang dari Arab Saudi akan diwajibkan memakai peranti digital bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ini kerana kebanyakan kes varian baharu COVID-19, Omicron yang dikesan membabitkan individu kembali dari Jeddah, terutama baru pulang daripada menunaikan umrah.

Beliau berkata, kebanyakan individu terbabit yang dibenarkan menjalani kuarantin di rumah, didapati tidak mematuhi arahan itu, malah menerima tetamu ketika dalam tempoh kuarantin.

"Daripada keseluruhan 49 kes Omicron dikesan, 30 membabitkan mereka yang pulang dari Arab Saudi selepas mengerjakan umrah.

"Kita mendapati sebahagian besar daripada mereka tidak mematuhi SOP, dan tiada menjalani pengasingan.

"Ada dalam kalangan mereka bergaul dengan keluarga serta menerima tetamu daripada jiran tetangga. Mereka bersalam untuk mengambil berkat tetapi akhirnya berlaku jangkitan Omicron.

"Oleh itu, tolong jangan keluar dari bilik, jangan berjumpa dengan orang, jangan menerima tetamu. Tunggu hingga semuanya selesai (kuarantin) dahulu, barulah berjumpa," katanya pada sidang media khas, hari ini.

Buat masa ini, pengembara pulang dari sembilan negara disenaraikan sebagai berisiko tinggi, perlu dipakaikan peranti digital ketika menjalani kuarantin di rumah.

Sembilan negara terbabit ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Denmark, Australia, Perancis, Norway, Kanada, India dan Nigeria.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan, kerajaan sudah memberikan kelonggaran kepada pengembara untuk menjalani kuarantin di rumah, justeru mereka mesti mematuhi SOP ditetapkan.

"Kita akan hidup dengan virus ini. Oleh itu, kerajaan sudah melonggarkan syarat supaya boleh menjalani kuarantin di rumah dan tidak lagi perlu mengeluarkan kos tinggi untuk kuarantin di hotel.

"Justeru tolong patuh, jangan bertemu sesiapa ketika dalam tempoh kuarantin, bagi mengurangkan penularan COVID-19 terutama varian Omicron yang kini dilihat semakin meningkat di negara ini," katanya.

Dalam pada itu, Khairy menggalakkan individu yang ingin ke luar negara, supaya mendapatkan suntikan dos penggalak vaksin COVID-19 terlebih dahulu.

"Saya akan membuat pengumuman nanti untuk memendekkan sela masa bagi pengambilan dos penggalak.

"Ia akan membolehkan lebih ramai rakyat di negara ini mendapatkan dos penggalak," katanya.

Individu pulang tunai umrah wajib pakai peranti pengesanan digital
Individu pulang tunai umrah wajib pakai peranti pengesanan digital

Berita Harian X