Sabtu, 25 Disember 2021 | 9:26am

Banjir di Kelantan semakin pulih

KOTA BHARU: Banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa menurun kepada 862 orang setakat jam 8.30 pagi tadi, berbanding 978 pada petang semalam.

Semua mangsa membabitkan 278 keluarga itu kini berada di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas.

Keadaan cuaca di Kelantan juga dilihat semakin baik, pagi ini, dan lima PPS terbabit dijangka ditutup dalam masa terdekat.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lima PPS yang masih dibuka ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, Masjid Mukim Padang Licin dan Putat Tujoh.

Kampung Gual Periok di Kota Bharu turut dilanda banjir. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kampung Gual Periok di Kota Bharu turut dilanda banjir. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sementara itu menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang melebihi paras waspada dengan mencecah 7.94 meter (m).

Bagaimanapun, kesemua sungai lain meliputi Sungai Lebir di Tualang; Sungai Kelantan, Tangga Krai; Sungai Galas, Dabong; Sungai Kelantan, Jambatan Guillemard; Sungai Kelantan, Tambatan Diraja; Sungai Golok, Jenob; Sungai Golok, Kuala Jambu; dan Sungai Semerak, Pasir Puteh, berada pada paras normal.

Kampung Gual Periok di Kota Bharu turut dilanda banjir. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Kampung Gual Periok di Kota Bharu turut dilanda banjir. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X