SHAH ALAM: Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menerima 7,241 laporan berkaitan banjir membabitkan sehingga tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, jumlah itu membabitkan mangsa banjir bagi memaklumkan kerosakan harta benda seperti peralatan rumah, kerosakan kereta yang ditenggelami air dan terkandas banjir menyebabkan tidak dapat hadir kerja.
"Dari segi keadaan terkini di daerah Shah Alam, terutama di pekan Sri Muda Seksyen 25 pula bertambah baik, dan jalan raya dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Baharudin berkata, kematian berkaitan banjir pula kekal 14 mangsa seperti sebelum ini.
"Jumlah mangsa diselamatkan sehingga jam 6 petang hari ini seramai 4,590 orang.
"Status terkini di pusat pemindahan sementara (PPS) daerah Shah Alam pula sebanyak 21 lokasi dibuka mulai 18 Disember sehingga hari ini dan 2,936 mangsa banjir ditempatkan di situ," katanya.