Jumaat, 24 Disember 2021 | 6:46pm
Ladang ternakan babi Kampung Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - Foto NSTP/RAMDZAN MASIAM
Ladang ternakan babi Kampung Valdor, Nibong Tebal, Pulau Pinang. - Foto NSTP/RAMDZAN MASIAM

Demam Babi Afrika pula

KUALA LUMPUR: Kes penyakit Demam Babi Afrika (ASF) dikesan di tujuh ladang babi di Paya Mengkuang, Melaka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata pihaknya menerima laporan daripada penternak yang terbabit dan pengesahan sampel yang diuji di Makmal Veterinar Sepang pada 20, 22 dan 23 Disember lalu.

Beliau berkata, bagi mengawal dan membasmi penyebaran penyakit ASF, Jabatan Perkhidmatan Veterinar mengeluarkan Notis Perintah Kuarantin ke atas ladang babi di Paya Mengkuang dan ternakan tidak dibenarkan keluar atau masuk di kawasan terjangkit.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga melaksanakan pemusnahan semua ternakan babi di ladang terjangkit berdasarkan Seksyen 19, Akta Binatang 1953 (Pindaan 2013).

"Ternakan di ladang yang disahkan bebas jangkitan dibenarkan untuk penyembelihan di rumah sembelihan yang diluluskan. Karkas dan daging babi tidak dibenarkan dibawa keluar ke negeri lain," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Dr Norlizan berkata, syarat pindah ternakan babi dan produk babi di seluruh Semenanjung diperketat, selain pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang babi di kawasan terjangkit serta ladang babi seluruh negara dipergiat.

"Pemantauan dan persampelan juga dipergiat di semua rumah sembelih babi di seluruh negara," katanya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan semua penternak babi supaya tidak memberi babi makanan sisa dapur dan tidak membuang bangkai babi ke dalam sungai, kolam serta kebun.

Selain itu, penternak dan orang awam juga diminta segera melaporkan kematian babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah atau Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri atau menghubungi Hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-88702041.

"Penyakit ASF memberi impak ekonomi yang besar kepada industri penternakan babi kerana boleh menyebabkan kematian sehingga 100 peratus," katanya.

Dr Norlizan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik kerana penyakit ASF penyakit tidak zoonotik, iaitu tidak berjangkit kepada manusia.

"Sebagai langkah keselamatan, daging babi perlu dimasak pada suhu sekurang-kurangnya 70 darjah Celsius selama 30 minit untuk mematikan virus," katanya.

Berita Harian X