PASIR MAS: Dua mangsa lemas ditemui membabitkan seorang lelaki warga emas dan dan remaja perempuan di dua tempat berbeza di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa pertama membabitkan Mustapa Nawang, 65, yang ditemui meninggal dunia di Kampung Batu Lapan, Gual Periok, Rantau Panjang jam 8.45 pagi tadi.
Katanya, mangsa keluar dari rumah petang semalam dan tidak pulang menyebabkan anaknya bersama beberapa rakan keluar mencarinya, sebelum menemui perahu milik mangsa terbalik di sawah yang dinaiki air banjir.
"Kumpulan yang mencari menemui mangsa di belakang rumah berdekatan dengan tempat perahunya terbalik," katanya selepas Majlis Sumbangan Kotak Rezeki Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas, di sini, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, mangsa kedua seorang remaja, Siti Alia Nasuha Mohd Rosli, 13, yang ditemui lemas di Sungai Pengkalan Teluk, Rantau Panjang, di sini, pada jam 2.30 petang, hari ini.
"Mangsa dilaporkan ke sungai berkenaan bersama bapanya, Mohd Rosli Abdullah, 40, dan adik lelaki, Mohd Akid Akmal, 11, yang juga hampir lemas tapi sempat diselamatkan oleh bapanya.
"Mangsa dipercayai lemas sekitar jam 11 tengah hari, dan ditemui sudah meninggal dunia oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Pasir Mas dua jam kemudian, pada jarak 40 meter dari tempat kejadian.