Jumaat, 24 Disember 2021 | 6:04pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah. - Foto fail NSTP
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah. - Foto fail NSTP

Buat ujian kendiri sebelum meraikan Hari Krismas, Tahun Baharu

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menggalakkan orang ramai melakukan saringan kendiri sebelum berkumpul atau mengunjungi keluarga dan rakan sebagai langkah waspada dalam memastikan penularan COVID-19 tidak berlaku ketika menyambut perayaan Krismas dan Tahun Baharu.

Demikian nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullan yang mahu orang ramai mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) diterapkan melalui TRIIS iaitu melakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera.

Beliau berkata, faktor pengudaraan premis seperti rumah juga begitu mustahak sekali sebagai langkah mengurangkan risiko penularan penyakit COVID-19.

Beliau dalam kenyataan di Facebook turut menitipkan doa supaya seluruh Keluarga Malaysia kekal selamat.

"Sempena sempena sambutan perayaan Hari Krismas dan Tahun Baharu ini, sudah tentu ada yang akan mengambil kesempatan untuk berkunjung menziarahi sahabat handai dan sanak saudara.

"Walaupun sebahagian besar dari Keluarga Malaysia sudah divaksin, kita perlu sentiasa berwaspada dengan mengamalkan kawalan kesihatan kendiri mealui TRIIS (uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera).

"Lakukan ujian saringan kendiri COVID-19 sebelum aktiviti berkumpul atau berkunjung. Amalkan pemakaian pelitup muka, mencuci tangan dan menjaga penjarakan serta elakkan sembang dengan jarak dekat serta berada di dalam ruang yang sempit," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau Rt yang direkodkan semalam berada pada tahap 0.90.

Katanya Rt itu membabitkan pecahan untuk seluruh negara.

"Jangkaan Ro/Rt bagi Selangor adalah 0.90. Sabah dengan 0.82, Pulau Pinang (0.94), Joho (0.96), Kelantan (0.88), Melaka (0.85), Kuala Lumpur (0.94), Labuan (0.85) dan Putrajaya (0.94), Negeri Sembilan dengan 0.89, Kedah (0.87), Pahang (0.88), Perak (0.94), Terengganu (0.99), Sarawak (0.74) dan Perlis (0.88)," katanya.

Berita Harian X