Jumaat, 24 Disember 2021 | 5:38pm
Banjir di Pekan akibat limpahan air Sungai Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Banjir di Pekan akibat limpahan air Sungai Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

NADMA salur RM26.9 juta

KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan sudah menyalurkan dana RM26.9 juta kepada 11 negeri yang dilanda banjir dan berisiko dilanda banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri berkata, dana yang disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu bagi membolehkan bantuan dan perancangan berdepan banjir.

"Kerajaan Persekutuan melalui NADMA telah menyalurkan dana sebanyak RM26.9 juta kepada 11 negeri.

"Ini termasuk bantuan kepada negeri yang dijangka akan menghadapi bencana banjir.

"Dana ini sebagai persediaan awal," katanya pada sidang media di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu di Bentong, hari ini.

Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam menyediakan makanan dan minuman untuk mangsa banjir, hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam menyediakan makanan dan minuman untuk mangsa banjir, hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Selain dana itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan Persekutuan turut menyediakan RM50 juta khusus untuk dua negeri yang teruk terjejas dengan banjir sejak minggu lalu, iaitu Selangor dan Pahang, dan kaedah penyaluran dana itu akan diputuskan kemudian.

"Negeri lain yang terjejas banjir juga akan kita bantu. (Jumlah bantuan) berdasarkan tahap keseriusan kes banjir kerana sesetengah negeri mungkin tidak serius seperti Pahang dan Selangor," katanya.

Berhubung inisiatif pembiayaan kewangan peribadi tanpa faedah oleh Bank Simpanan Nasional (BSN), Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju menaikkan jumlah pinjaman daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Katanya, pembiayaan peribadi itu boleh digunakan mangsa banjir untuk memberi barang rumah dan seumpamanya, dengan peminjam diberi moratorium enam bulan ke atas pembayaran bulanan.

Bagi bantuan baik pulih rumah, Ismail Sabri berkata, mangsa banjir boleh melaporkan keadaan masing-masing kepada pejabat daerah.

"Pengumpulan data di bawah pusat pengurusan bencana banjir di peringkat daerah.

"Mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS juga boleh melaporkan segera situasi mereka ke pejabat daerah untuk tindakan lanjut, supaya kita boleh memberi wang bantuan kepada mereka," katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan yang membantu membersihkan kediaman mangsa banjir, namun jumlahnya akan ditentukan kemudian.

Berhubung sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), Ismail Sabri berkata, RM75.8 juta sudah dikumpulkan bagi membantu mangsa banjir.

Antara bantuan terkini, katanya, daripada Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang meningkatkan jumlah sumbangan daripada RM2 juta kepada RM5 juta.

"Dana ini akan digunakan bagi membantu membeli barang keperluan mangsa banjir. Bukan lagi soal makanan, tapi barang keperluan rumah seperti tilam, selimut, bantal dan sebagainya," katanya.

Suasana di pusat penempatan mangsa banjir penduduk Taman Sri Muda yang diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
Suasana di pusat penempatan mangsa banjir penduduk Taman Sri Muda yang diuruskan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Emerald. - Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH

Berita Harian X