Jumaat, 24 Disember 2021 | 1:08pm
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau keadaan banjir ketika dalam perjalanan ke Mentakab hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninjau keadaan banjir ketika dalam perjalanan ke Mentakab hari ini. - Foto Bernama

Perdana Menteri lawat mangsa banjir di Mentakab

TEMERLOH: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat mangsa banjir di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Mentakab, di sini.

Beliau yang tiba pada pukul 10.45 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk mendengar taklimat mengenai situasi banjir di daerah itu, serta bertanya khabar mangsa banjir yang ditempatkan di PPS berkenaan.

Terdapat 938 mangsa daripada 336 keluarga masih mendapatkan perlindungan di SJKC Mentakab, berikutan banjir di kawasan masing-masing belum surut sepenuhnya.

Menurut data Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang, setakat pukul 8 pagi tadi terdapat 12,663 mangsa banjir daripada 3,629 ditempatkan di 79 PPS di seluruh daerah Temerloh.

Perdana Menteri seterusnya bergerak ke Karak untuk melawat sebuah lagi PPS iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Karak Setia.

Dalam pada itu, mangsa banjir yang ditemui Bernama di SJKC Mentakab, berkata Perdana Menteri sempat bertanya mengenai kebajikan mereka di PPS berkenaan dan berkongsi rasa simpati atas bencana yang menimpa.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tiga, kiri) beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Mentakab hari ini. - Foto BERNAMA

Winda Kaban, 39, berkata Perdana Menteri juga meminta pegawai perubatan untuk memeriksa suaminya, Rozali Muhammad Sharif, 53, yang lumpuh akibat angin ahmar sejak enam bulan lepas.

"Suami saya cuma terbaring, jadi PM panggil doktor untuk datang ke khemah kami sekali sekala periksa keadaan suami saya sebab dia tidak boleh berjalan ke depan (tempat pegawai perubatan)," katanya.

Kediaman mereka di Kg Tanjung Kerayong, Mentakab dinaiki air setinggi dua kaki dan dinasihatkan berpindah ke PPS oleh pihak polis berikutan bimbang keadaan suaminya akan menyukarkan proses menyelamat jika paras air terus meningkat.

Seorang lagi mangsa, Hazlina Ariffin, 53, berkata dia bersama ibu, Robiatun Kassim, 82, yang berkerusi roda berpindah ke kuarters Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Mentakab pada Isnin, sebelum ditempatkan di PPS berkenaan pada Selasa.

"Saya cuma risaukan keadaan ibu dan kami bernasib baik kerana rumah dekat dengan balai bomba. Jadi bantuan cepat sampai untuk membawa ibu saya keluar," katanya sambil menambah hanya sempat membawa keluar sedikit pakaian dan dokumen penting.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di sekitar bandar Temerloh mendapati keadaan semakin pulih dengan beberapa jalan utama sudah dibuka untuk kenderaan manakala sebahagian bandar Mentakab masih ditenggelami air.

- BERNAMA

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir ketika melawat Pusat Pemindahan sementara (PPS) Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Mentakab hari ini. - Foto BERNAMA

Berita Harian X