Jumaat, 24 Disember 2021 | 10:32am
Gambar fail
Gambar fail

44 kematian akibat COVID-19

PUTRAJAYA: Sebanyak 44 kematian membabitkan jangkitan COVID-19 direkodkan setakat tengah malam tadi, termasuk 10 kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Data dari laman sesawang COVIDNOW menunjukkan jumlah kematian akibat COVID-19 kini meningkat kepada 31,265 dengan 6,316 membabitkan BID.

Perak mencatatkan bilangan kematian akibat COVID-19 tertinggi semalam iaitu 14 kes termasuk satu kes BID.

Ia disusuli tujuh kematian di Pulau Pinang; enam kes termasuk dua BID di Selangor; dan masing-masing empat kematian di Terengganu dan Kuala Lumpur.

Tiga kematian direkodkan di Kelantan, manakala dua lagi di Pahang dan masing-masing satu di Johor, Kedah, Negeri Sembilan dan Sabah.

Tiada kematian akibat COVID-19 direkodkan di Melaka, Perlis, Sarawak, Labuan dan Putrajaya.

Sebanyak 47,863 kes aktif dilaporkan setakat tengah malam tadi membabitkan 39,940 pesakit yang menjalani kuarantin di rumah, seramai 3,946 individu dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) manakala 3,648 pesakit lagi menjalani rawatan di hospital.

Sementara itu, sebanyak 176,463 dos vaksin COVID-19 diberikan semalam, membabitkan 167,684 dos penggalak; sebanyak 3,253 dos lengkap dan sebanyak 2,100 dos pertama.

Sehingga kini, sebanyak 50,994,876 dos vaksin sudah diberikan kepada penduduk di negara ini.

Berita Harian X