Jumaat, 24 Disember 2021 | 9:46am
Kesemua mangsa banjir di Kelantan ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas. - Foto Bernama
Kesemua mangsa banjir di Kelantan ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas. - Foto Bernama

Mangsa banjir di Kelantan turun kepada 1,364 orang

KOTA BHARU: Jumlah mangsa banjir di Kelantan turun kepada 1,364 orang daripada 478 keluarga sehingga jam 9 pagi ini berbanding 1,496 orang 5 petang semalam.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas.

Mangsa di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh sedikit berkurangan kepada 389 orang, diikuti SK Kubang Kual 318 orang, SK Gual Periok (254 orang) dan SK Gual Tinggi (135 orang).

Selain itu, PPS Putat Tujoh menempatkan seramai 79 orang mangsa, Masjid Mukim Padang Licin (78 orang), SK Sri Kiambang (72 orang) dan SK Kedai Tanjong (39 orang).

Menurut portal eBanjir Kelantan, enam jalan yang masih ditutup iaitu tiga di Pasir Mas dan tiga di Kuala Krai.

Jalan yang ditutup adalah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai.

Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang dan Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di Pasir Mas.

Sementara itu, menurut laman web, https://publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada di paras amaran dengan bacaan 8.38 meter (m), manakala sungai yang lain berada di paras normal.

Berita Harian X