Khamis, 23 Disember 2021 | 7:46pm
Keadaan banjir di sekitar Kampung Temai Pekan.- Foto FARIZUL HAFIZ AWANG
Keadaan banjir di sekitar Kampung Temai Pekan.- Foto FARIZUL HAFIZ AWANG

Pekerja ladang korban ke-12 banjir di Pahang

PEKAN: Seorang pekerja ladang yang terjatuh ketika cuba meredah banjir di ladang kelapa sawit FELDA Chini 2, Pekan, hari ini, ditemukan meninggal dunia dipercayai akibat lemas, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin berkata, mangsa Che Rustam Che Su, 36, ditemukan tidak jauh dari lokasi dia dikatakan terjatuh semasa meredah air melimpah setinggi lima meter di laluan rendah di ladang itu pada jam 3.40 petang.

Beliau berkata, mangsa dikatakan ke ladang itu pada jam 9 pagi bersama bapa dan abangnya dengan menunggang motosikal berasingan bagi mengambil buah kelapa sawit.

"Abang mangsa mendakwa melihat mangsa tenggelam dan terkapai-kapai selepas terjatuh kerana difahamkan dia tidak pandai berenang.

"Kejadian dipercayai berlaku kerana mangsa tidak menyangka laluan itu dinaiki air agak dalam kesan daripada hujan sejak beberapa hari lalu," katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat.

Beliau berkata, selain polis, operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut membabitkan bomba termasuk Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan.

Susulan penemuan itu, mangsa adalah mangsa ke-12 yang meninggal dunia sejak banjir melanda Pahang, beberapa hari lalu.

Berita Harian X