Khamis, 23 Disember 2021 | 6:34pm
Anggota Bomba membawa mangsa banjir ke PPS Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan. Tingkat satu sekolah itu juga dinaiki air kerana limpahan air dari Sungai Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG
Anggota Bomba membawa mangsa banjir ke PPS Sekolah Kebangsaan Temai, Pekan. Tingkat satu sekolah itu juga dinaiki air kerana limpahan air dari Sungai Pahang. - Foto NSTP/FARIZUL HAFIZ AWANG

Lima daerah catat pertambahan mangsa banjir

JERANTUT: Mangsa banjir di Pahang menurun sedikit kepada 35,213 individu pada 4 petang ini, berbanding 37,420 orang 8 pagi tadi.

Namun, beberapa daerah seperti Temerloh, Bera, Maran, Pekan dan Bentong menunjukkan pertambahan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS).

Jumlah mangsa di PPS yang berkurang membabitkan daerah Jerantut, Lipis, Raub dan Kuantan.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata, ada 35,213 mangsa banjir dari 10,414 keluarga di 253 PPS.

Katanya, di Temerloh ada 12,275 mangsa dari 3,514 keluarga di 81 PPS, berbanding pagi tadi 10,806 mangsa dari 3,315 keluarga di 79 PPS.

Beliau berkata, jumlah di daerah Bera banjir tidak berubah, iaitu 2,184 mangsa di 20 PPS membabitkan 623 keluarga.

Katanya, daerah Maran turut menunjukkan peningkatan iaitu 1,160 dari 321 keluarga di 23 PPS, berbanding 611 mangsa dari 214 keluarga di 19 PPS pagi tadi.

"Pekan turut menunjukkan peningkatan iaitu 1,745 mangsa dari 520 keluarga di 21 PPS, berbanding pagi tadi 1,571 mangsa dari 461 keluarga di 21 PPS.

"Daerah Bentong mencatatkan 4,714 mangsa banjir dengan 1,592 keluarga di 17 PPS petang ini, berbanding pagi tadi 4,695 mangsa dari 1,590 keluarga di 17 PPS," katanya.

Sementara itu daerah yang berlaku penurunan ialah Jerantut, dengan 940 mangsa dari 222 keluarga di 17 PPS, Lipis 979 mangsa dari 309 keluarga di 12 PPS, manakala Kuantan ada 10,852 mangsa dari 3,215 keluarga di 58 PPS.

Beberapa batang jalan raya di Pahang masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan air belum surut.

Bagi Jerantut, jalan yang masih ditutup, ialah Jalan Jerantut ke Felda Kota Gelanggi, Jalan Jerantut - Lipis, Jalan Bukit Puas - Gintong, Jalan Pulau Tawar - Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok - Jeransong, Jalan Ulu Retang - Merting dan Jalan Sungai Yap ke Pasir Tambang.

"Di Raub pula, jalan yang ditutup ialah Jalan Sengkela - Chenua, Jalan Bentong ke Gua Musang dan Jalan Ulu Renggol. Di Bentong membabitkan Jalan Karak ke Simpang Pelangai dan jalan utama Mempaga.

"Di Maran jalan yang ditutup ialah Jalan Maran - Jerantut, Jalan Serengkam dan Jalan utama Jengka Utara," katanya.

Di Kuantan, jalan yang ditutup ialah Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan - Endau, Jalan Air Hitam - Teluk Mahang, Jalan Panching Utara dan Jalan Kuala Lumpur - Kuantan.

Beberapa batang laluan di Lipis juga masih ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan, iaitu Jalan Bukit Kota ke Aur Gading dan Jalan Lipis - Jerantut.

Di Temerloh jalan yang ditutup ialah Temerloh - Kuala Lumpur, Temerloh - Gemas, Temerloh - Mentakab, dan jalan loji air Batu Sawar.

Di Bera, jalan yang ditutup ialah Jalan Bera - Temerloh, jalan utama gugusan Bera dan Jalan Bohor Baharu.

Di Bentong, jalan yang ditutup ialah Jalan Karak - Simpang Pelanggai, manakala di Pekan, jalan yang ditutup ialah Jalan Mentega - Terapai.

Keadaan banjir di Temerloh semalam. GAMBAR JPS Pahang
Keadaan banjir di Temerloh semalam. GAMBAR JPS Pahang

Berita Harian X