Khamis, 23 Disember 2021 | 5:57pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

Dana RM83 juta disalur melalui GDRN bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Dana sebanyak RM83 juta termasuk geran berjumlah RM25 juta oleh kerajaan disalurkan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN) untuk membantu mangsa banjir.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) akan menyumbang RM58 juta untuk menangani bencana banjir, meningkat lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan sebelum ini.

Selain itu, beliau berkata, sejak 17 Disember lalu, GDRN mula memantau keadaan banjir di seluruh negara dan turun padang untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Antaranya termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyediakan Kampus Pembelajaran KWSP sebagai pusat penempatan sementara; Telekom Malaysia (TM) yang mula mengaktifkan Pusat Arahan Krisis mereka dan bersedia memberi bantuan komunikasi serta perkhidmatan kecemasan serta Pharmaniaga dan MASKargo yang giat menghantar bantuan kepada mangsa banjir," katanya dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) Ke-80 yang dikeluarkan hari ini.

Tengku Zafrul berkata, sektor perbankan juga menyatakan kesediaan menawarkan program bantuan bayaran balik kepada peminjam terkesan akibat banjir.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memantau keadaan dan Kementerian Kewangan khususnya sentiasa bersedia menyediakan peruntukan secukupnya untuk membantu mangsa banjir secepat mungkin.

"Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memulakan usaha membaiki rumah dan infrastruktur awam yang rosak akibat banjir.

"Pelbagai agensi dikerah menangani isu banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam dengan segera. Selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diarahkan mengepam air dari kawasan banjir genang ke sungai berhampiran," katanya.

Beliau berkata, RM100 juta diperuntukkan untuk menggerakkan usaha pemulihan pascabanjir.

Mengenai Program Subsidi Upah (PSU), katanya, secara keseluruhan, kerajaan menyalurkan RM19.815 bilion kepada 360,094 majikan bagi mengekalkan penggajian 2,949,828 pekerja tempatan dalam usaha untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan pekerja warganegara Malaysia.

Bagi Geran Pendigitalan PKS, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM150.60 juta disalurkan kepada 53,840 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bentuk geran padanan setakat 10 Disember.

Beliau berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kerajaan memperuntukkan RM700 juta bagi membantu dan menggalak PKS serta syarikat di peringkat pertengahan (MTC) ke arah pendigitalan operasi dan saluran perdagangan.

"Setakat 10 Disember, sejumlah RM89.9 juta disalurkan kepada 13,889 perniagaan dalam bentuk geran dan pinjaman untuk langganan perkhidmatan digitalisasi," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X