KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tujuh negeri direkodkan seramai 16,901 keluarga, membabitkan 59,662 individu sehingga jam 5 petang tadi.
Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu mencatatkan penurunan berbanding 17,164 keluarga membabitkan 60,583 individu, pada jam 12 tengah hari tadi.
Perkongsian sama juga menjelaskan sebanyak 377 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Pahang, Kelantan Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, berbanding 389 PPS pada jam 12 tengah hari tadi.
Jumlah mangsa banjir ditempatkan di PPS di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur tidak berkurangan, antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang tadi.
Mangsa banjir ditempatkan di PPS di Perak dan Kelantan pula mencatatkan pengurangan seramai 63 orang, manakala Melaka (empat), Pahang (27) serta Selangor (51).
Kemas kini terbaharu menunjukkan sebanyak 249 PPS beroperasi di Pahang bagi menempatkan 34,998 mangsa, masing-masing 12,007 lelaki, 11,705 wanita, 10,031 kanak-kanak dan 1,255 bayi.
Seramai 22,261 mangsa pula berlindung di 111 PPS di Selangor, masing-masing terdiri daripada 7,633 lelaki, 7,438 wanita, 6,368 kanak-kanak dan 822 bayi.
Lapan PPS dibuka di Kelantan bagi menempatkan 1,496 mangsa terdiri daripada 434 lelaki, 493 wanita, 530 kanak-kanak dan 39 bayi, manakala dua PPS dibuka di Melaka bagi memberi perlindungan kepada 131 mangsa yang terdiri daripada 46 lelaki, 40 wanita, 44 kanak-kanak serta seorang bayi.
Seramai 182 mangsa terdiri daripada 39 lelaki, 59 wanita, 77 kanak-kanak dan tujuh bayi ditempatkan di dua PPS di Perak, manakala 307 mangsa, masing-masing 100 lelaki, 109 wanita, 90 kanak-kanak dan lapan bayi berlindung di empat PPS di Negeri Sembilan.
Selain itu, seramai 314 mangsa, masing-masing 109 lelaki, 124 wanita dan 81 kanak-kanak ditempatkan di dua PPS di Kuala Lumpur.
Mengenai kejadian tanah runtuh pula, portal Info Bencana JKM merekodkan dua PPS dibuka bagi menempatkan 132 mangsa di Batu 11, Gombak, Selangor dan Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang terjejas akibat insiden terbabit.
Portal berkenaan turut melaporkan satu kejadian kebakaran di Kuala Lumpur, membabitkan 12 mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS dengan kapasiti 200 orang di Dewan 4B Sri Johor, Cheras.