Khamis, 23 Disember 2021 | 4:11pm
Mohammad Hamdan pada sidang media di Taman Sri Muda, Shah Alam.- NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Mohammad Hamdan pada sidang media di Taman Sri Muda, Shah Alam.- NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

'Ketepi masalah sendiri, selamatkan mangsa lain dulu'

SHAH ALAM: Ratusan anggota bomba yang kediaman mereka terjejas banjir sanggup mengetepikan kesusahan dialami demi melaksanakan tugas menyelamatkan mangsa lain yang turut terkesan akibat bencana sama.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, berkata sikap anggotanya yang mementingkan keselamatan orang lain berbanding kepentingan sendiri menjadi nilai teras dipupuk dalam perkhidmatan, malah ia tanggungjawab serta amanah terutama ketika bencana.

"Sebenarnya, ratusan anggota bomba kehilangan rumah kerana banjir, tetapi mereka tidak mahu membuat cerita viral, bising atau sebagainya.

"Itu menjadi sebahagian etika perkhidmatan. Mereka ini mengutamakan nyawa orang lain sehingga ada (anggota) yang tidak tahu anak dan keluarga mereka dipindahkan.

"Ini komitmen kami untuk menyelamatkan orang dalam kesusahan. Biar kita letakkan ke tepi kepentingan sendiri dan bantu orang lain dulu," katanya pada sidang media di Bilik Operasi Bencana Taman Sri Muda di sini, hari ini.

Mohammad Hamdan berkata, ada juga anggotanya cedera ketika menjalankan operasi menyelamat, tetapi mereka terus melunaskan amanah dipikul.

Meskipun beliau menyifatkan sikap anggotanya sebagai mulia, tetapi ia tidak bermaksud pihaknya 'kebal' dari segi kritikan dan kelemahan.

"Kami mungkin tidak sempurna, tetapi kami cuba lakukan yang terbaik. Ada pengarah pada hari pertama (banjir) tidak tidur 72 jam, kaki melecet dan sebagainya.

"Saya meminta mereka bersabar, ia sebahagian daripada tugas. Jika kami menerima aduan orang ramai, kita akan teliti," katanya

Beliau berkata, khidmat diberi anggota bomba dilakukan demi kemanusiaan dan kebajikan tanpa mengira latar belakang mangsa.

Berita Harian X