Khamis, 23 Disember 2021 | 12:30pm
Orang ramai mula pulang ke rumah selepas terjejas akibat banjir buruk di Taman Seri Muda. - Goto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Orang ramai mula pulang ke rumah selepas terjejas akibat banjir buruk di Taman Seri Muda. - Goto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Penyelarasan antara agensi lambat pada Sabtu - Ketua Polis Negara

SHAH ALAM: Penyelarasan di antara agensi kerajaan perlahan pada hari pertama banjir di Shah Alam, Sabtu lalu.

Operasi menyelamat juga lambat kerana kepadatan penduduk di bandar raya berkenaan, termasuk ramai yang tinggal di apartmen.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata semua agensi penyelamat awam dapat menyelaras tugas mereka dengan baik pada hari kedua banjir di Shah Alam.

"Saya lihat dalam insiden yang berlaku di Taman Sri Muda, Shah Alam, kita dapati koordinasi semua agensi pada awalnya dilihat agak perlahan.

"Tetapi selepas hari kedua, kita telah menggerakkan dan mengkoordinasikan semua tindakan daripada semua agensi.

"Ketika itu, keadaan banjir masih di paras bahaya. Kita dapati di Shah Alam, mangsa-mangsa banjir berada di kediaman rumah teres dan pangsapuri.

"Jadi kepadatan penduduk di Shah Alam berbeza dengan di Kelantan, Pahang, Terengganu dan negeri lain. Urusan pemindahan itu berlaku dengan mudah sebab lokasi dan bentuk penempatan," katanya di sini, hari ini.

Mengulas mengenai rungutan talian kecemasan 999 tidak didapat dihubungi, Acryl Sani berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai masalah itu.

Katanya, isu itu tidak sepatutnya berlaku kerana membabitkan talian kecemasan.

"Talian ini sepatutnya berfungsi. Ini baru pertama kali saya dengar ia tidak dapat dihubungi. Saya akan dapatkan maklumkan terperinci," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, sejumlah 66,015 anggota keselamatan pelbagai agensi ditugaskan di tujuh negeri dilanda banjir membabitkan Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Perak, Melaka, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Selain itu, katanya, bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk banyak membantu usaha memindahkan mangsa.

"Kami semua agensi terbabit dalam bencana terhutang budi kepada semua NGO, persatuan penduduk yang begitu aktif. Mereka ini wira tak didendang yang bekerja dan menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan penghargaan.

"Hari ini saya ingin mengatakan kami sangat menghargai segala usaha mereka lakukan tanpa minta pengiktirafan.

"Terima kasih kepada mereka semua dan harap akan terus membantu agensi kerajaan serta penduduk setempat," katanya.

Penduduk menunggu di tepi jalan bagi mendapat barang yang diberi oleh orang perseorangan dan NGO ekoran banjir buruk di Taman Seri Muda. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Penduduk menunggu di tepi jalan bagi mendapat barang yang diberi oleh orang perseorangan dan NGO ekoran banjir buruk di Taman Seri Muda. - Foto NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Berita Harian X