Khamis, 23 Disember 2021 | 12:15pm
Amirudin Shari meninjau kawasan penempatan penduduk di Padang Jawa, Seksyen 16 yang terjejas akibat banjir - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain
Amirudin Shari meninjau kawasan penempatan penduduk di Padang Jawa, Seksyen 16 yang terjejas akibat banjir - Foto NSTP/Ruwaida Md Zain

22,875 mangsa banjir di 125 PPS di Selangor

SHAH ALAM: Seramai 22,875 mangsa banjir membabitkan 5,165 keluarga ditempatkan di 125 Pusat Perpindahan Sementara (PPS) di seluruh Selangor sehingga jam 8 malam tadi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 125 PPS yang menempatkan mangsa itu membabitkan lapan daerah meliputi 18 mukim di Selangor.

"Alhamdulillah, gerak kerja rapat dengan ketumbukan 3,326 anggota termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan terus berusaha dalam operasi mengurus termasuk mencari dan menyelamat (SAR) mangsa banjir.

"Dalam ikhtiar yang diusahakan ini, dukacita dimaklumkan bahawa setakat semalam, tragedi banjir ini mencatatkan kematian 24 mangsa korban.

"Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada semua keluarga terbabit dan berharap semoga mereka diberi kesabaran, kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi musibah ini," katanya.

Dalam perkembangan lain katanya, sebanyak 2,064 tan metrik sampah diangkut oleh KDEB Waste membabitkan 487 tong roro (roll-on roll-off) setakat jam 9 malam tadi

"Kerja pembersihan 29 jengkaut (backhoe) dan 1,274 pekerja bagi operasi pembersihan di lapan daerah yang terjejas banjir," katanya.

Berita Harian X