Khamis, 23 Disember 2021 | 10:16am

Pemulihan bekalan air capai 95 peratus

KUALA LUMPUR: Bekalan air di tiga wilayah yang terjejas berikutan henti tugas empat loji rawatan air pada 19 Disember lalu iaitu Petaling, Hulu Langat dan Kuala Lumpur sudah mencapai tahap 95 peratus sehingga jam 6 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan, Petaling dan Kuala Lumpur sudah mencapai tahap bekalan air 100 peratus, manakala Hulu Langat pada tahap 91.4 peratus.

"Bagi kawasan yang masih lagi terjejas, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 10 pagi esok," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Empat loji rawatan air iaitu Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2, LRA Sungat Langat, LRA Langat 2 dan LRA Cheras Batu 11 dihenti tugas pada 19 Disember lalu, berikutan peningkatan paras air serta penutupan bekalan elektrik kecemasan.

Sehingga jam 6 pagi tadi, bekalan air di 28 kawasan masih belum pulih sepenuhnya.

Air Selangor berkata, bantuan alternatif melalui lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

"Air Selangor ingin memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

"Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air menggunakan air secara berhemat bagi memastikan kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air mengikut jadual," katanya.

Katanya, perkembangan berkaitan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium, terutama media massa, selain saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

Berita Harian X