Khamis, 23 Disember 2021 | 7:28am
TNB menutup sementara 522 pencawang elektrik di Pahang susulan situasi banjir yang melanda di lapan daerah negeri itu. - Foto NSTP
TNB menutup sementara 522 pencawang elektrik di Pahang susulan situasi banjir yang melanda di lapan daerah negeri itu. - Foto NSTP

Banjir: TNB tutup 522 pencawang elektrik di Pahang

KUANTAN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara 522 pencawang elektrik di Pahang berikutan situasi banjir yang melanda di lapan daerah negeri itu.

Pengurus Besar TNB Pahang, Datuk Baderul Sham Saad, berkata penutupan itu membabitkan 150 pencawang di Temerloh, diikuti Kuantan (145), Bentong (131) dan Lipis (65).

Beliau berkata, turut ditutup 15 pencawang di Jerantut, Bera (7), Raub (7) dan Maran (2).

Katanya, penutupan pencawang elektrik dilakukan secara berperingkat sejak 19 Disember lalu hingga hari ini berikutan pencawang ditenggelami banjir.

"Untuk memastikan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) berada dalam keadaan selesa, sebanyak 10 generator elektrik disediakan di lima PPS di daerah Kuantan, empat di Temerloh dan satu di Lipis.

"Pencawang elektrik hanya akan dibuka selepas banjir surut sepenuhnya, selepas itu proses membaikpulih kerosakan akan dilakukan oleh kakitangan TNB," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Baderul berkata, sehingga semalam pihaknya berjaya membaikpulih 270 pencawang elektrik di negeri ini, manakala 71 unit generator bergerak ditempatkan di kawasan yang terjejas banjir.

"TNB sentiasa berusaha memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan usaha memulihkan bekalan elektrik yang terputus sentiasa diberi keutamaan.

"Bagaimanapun, kita perlu mengambil kira aspek keselamatan pengguna elektrik dan pekerja TNB, kita tidak boleh bertindak secara terburu-buru membuat penyambungan," katanya lebih 250 kakitangan syarikat itu terbabit dengan operasi banjir di seluruh negeri.

Katanya, pengguna dinasihatkan supaya tidak membaiki serta melakukan penyambungan sendiri kerana perbuatan itu boleh mengundang berlakunya kejadian litar pintas seterusnya kebakaran.

Berita Harian X