Rabu, 22 Disember 2021 | 7:24pm
Penduduk kampung terpaksa meredah banjir untuk memindahkan perkakasan elektrik ke tempat yang lebih selamat ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Setengah, Lorong Mesra Changkat Jong hari ini. - Foto BERNAMA
Penduduk kampung terpaksa meredah banjir untuk memindahkan perkakasan elektrik ke tempat yang lebih selamat ketika tinjauan di Kampung Batu 7 Setengah, Lorong Mesra Changkat Jong hari ini. - Foto BERNAMA

Utamakan keselamatan berkaitan elektrik semasa, selepas banjir - ST

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mengutamakan keselamatan berkaitan elektrik ketika bencana banjir bagi mengelakkan renjatan disebabkan tiang elektrik patah atau tumbang, talian elektrik terputus atau jatuh dan kabel bawah tanah terputus.

"Elakkan melalui kawasan yang ada talian elektrik kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian itu mudah disentuh terutamanya pada waktu malam kerana ketika itu penglihatan tidak begitu jelas," menurut ST dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, orang ramai diminta menjauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik jatuh atau putus bagi mengelak daripada terkena renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik, tidak memegang tiang elektrik, tiang lampu, lampu isyarat atau dawai umbang semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor.

Orang ramai juga diminta tidak menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang tiang sebagai ampaian serta jangan pegang tiang besi 'porch' rumah atau khemah kerana dikhuatiri ada kebocoran arus, menurut ST.

ST memaklumkan, orang ramai diminta tidak menghampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air dan tidak mengalih, membaiki tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus atau jatuh ke tanah sebaliknya segera melaporkannya kepada pihak pemegang lesen atau utiliti.

Bagi orang ramai yang kembali ke rumah masing-masing selepas banjir, mereka dinasihatkan untuk memastikan suis utama di papan agihan berada pada kedudukan 'off', sebelum membersihkan peralatan elektrik atau pendawaian rumah untuk mengelakkan renjatan semasa kerja pembersihan atau apabila pihak utiliti menyambung semula bekalan.

Orang ramai juga diingatkan tidak menyentuh atau memotong atau menarik dahan pokok yang jatuh menimpa talian elektrik kerana ia mungkin masih bertenaga dan boleh mengakibatkan renjatan, serta tidak menggunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air.

"Pastikan semua kelengkapan elektrik diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya atau elakkan menggunakan kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya," jelas ST.

Menurut suruhanjaya itu, sebelum membuka atau 'on' suis utama, semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik yang terdapat di dalam rumah perlu diperiksa kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST.

Sebarang kemusykilan atau aduan mengenai pepasangan pemegang lesen atau utiliti, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat Tenaga Nasional Bhd di 15454 bagi Semenanjung Malaysia dan talian khidmat Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di 15454 bagi pengguna Celcom di Sabah atau 088-515000 bagi Digi dan Maxis. - BERNAMA

Berita Harian X