Rabu, 22 Disember 2021 | 7:11pm

361 mangsa banjir positif COVID-19

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 361 kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di tujuh negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pihaknya juga tidak mengesan kes positif di 415 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Beliau berkata, tujuh negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Kuala Lumpur, dan Melaka, membabitkan seramai 65,114 mangsa.

"Pada hari ini, seramai 963 atau 27.2 peratus daripada 3,438 mangsa banjir diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar oleh pasukan perubatan di PPS.

"Seramai 203 mengalami Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI); Penyakit Kulit (50); Acute Gastroenteritis (AGE) (13); penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) (satu) dan 43 mangsa lagi menghidap lain-lain penyakit berjangkit," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan mangsa banjir untuk memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil ketika proses pemindahan dan penyelamatan.

Beliau berkata, mangsa banjir juga perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan normal baharu sewaktu proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS selain sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan

fizikal, dan maklumkan kepada petugas atau pasukan perubatan di PPS sekiranya mengalami gejala COVID-19.

Katanya, mangsa banjir juga diminta mengelak daripada berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mereka ketika berada di PPS.

Selain itu, beliau mengingatkan mangsa serta petugas untuk memakai pelindung diri semasa operasi pemindahan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir; memastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan mengamalkan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat gunasama seperti tandas.

"Mereka juga perlu mengelakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir; sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor dan mengelakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar.

"Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, dan juga individu yang mempunyai komorbiditi.

"Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung.

Beliau juga menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana

banjir, di laman sesawang https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index.

Berita Harian X