Rabu, 22 Disember 2021 | 6:04pm

31 kematian di Selangor dan Pahang

KUALA LUMPUR: Angka kematian akibat banjir di Selangor dan Pahang merekodkan seramai 31 mangsa apabila kedua-dua negeri berkenaan masing-masing mencatatkan 21 dan 10 kematian setakat hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya merekodkan 21 kematian di seluruh Selangor sehingga hari ini.

"Daripada jumlah itu, 11 kematian direkodkan di Taman Sri Muda, Shah Alam.

"Kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa banjir masih giat dijalankan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, operasi menyelamat masih diteruskan di dua lokasi di Taman Sri Muda dan Bandar Sri Ehsan, Bukit Changgang.

"Di Taman Sri Muda, seramai 334 mangsa dipindahkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan individu dipindahkan adalah 3,504 mangsa sejak hari pertama operasi dijalankan.

"Di Bandar Sri Ehsan pula, seramai 19 mangsa termasuk warga emas, kanak-kanak dan bayi dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kota Warisan, semalam," katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Pahang, Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, pihaknya merekodkan 10 kematian setakat hari ini termasuk penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki di sebuah kawasan chalet Bobby Eco Camp, Bentong, pagi tadi.

"Kami menerima lapan kes membabitkan tujuh kes runtuh dan satu kes tanah runtuh di seluruh negeri ini membabitkan 75 mangsa dengan 59 daripadanya berjaya diselamatkan.

"Daripada jumlah itu juga, 10 individu dilaporkan meninggal dunia, manakala enam lagi mangsa masih belum ditemui.

"Sebanyak 284 PPS dibuka di sembilan daerah di Pahang membabitkan 38,975 mangsa yang terdiri daripada 11,262 keluarga sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika operasi mencari dan menyelamat di Bobby Eco Farm Resort , Bentong. - Foto BERNAMA
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika operasi mencari dan menyelamat di Bobby Eco Farm Resort , Bentong. - Foto BERNAMA

Berita Harian X