Rabu, 22 Disember 2021 | 5:52pm
Keadaan banjir di sekitar Temerloh dan Mentakab hari ini - Foto NSTP/Roselan Ab Malek
Keadaan banjir di sekitar Temerloh dan Mentakab hari ini - Foto NSTP/Roselan Ab Malek

Mangsa banjir di Pahang berkurangan, banyak jalan masih ditutup

JERANTUT: Jumlah mangsa banjir di Pahang berkurang kepada 36,844 orang sehingga jam 4 petang ini, berbanding 42,234 orang pagi tadi berikutan air semakin surut di beberapa daerah seperti Jerantut, Lipis, Kuantan dan Raub.

Namun berlaku peningkatan mangsa di beberapa daerah lain iaitu Temerloh, Bera, Maran, Pekan dan Bentong.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang berkata pada masa ini jumlah mangsa banjir ialah 36,841 dari 14,807 keluarga di 267 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Daerah yang jumlah mangsa meningkat ialah Temerloh dengan 10,806 mangsa dari 3,034 keluarga di 78 PPS berbanding pagi tadi sebanyak 10,204 di 76 PSS.

"Di Bera seramai 577 keluarga dipindahkan membabitkan 2,017 mangsa di 19 PPS, Maran mencatatkan penambahan kepada 737 mangsa dari 195 keluarga di 18 PPS manakala Bentong terdapat 4,459 mangsa dari 1,540 keluarga di 16 PPS.," katanya.

Daerah yang berlaku pengurangan ialah Jerantut, dengan 1,744 mangsa dari 433 keluarga di24 PPS, Lipis 1,164 mangsa dari 36 keluarga di 17 PPS, Kuantan 14,223 mangsa dari 4,151 keluarga di 69 PPS serta Raub kini mempunyai 4 PPS dengan 96 keluarga membabitkan 375 mangsa.

Dalam perkembangan sama, beberapa jalan raya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) di Pahang masih ditutup untuk semua kenderaan berikutan air belum surut dan kerja mencuci jalan dari lumpur sedang dilaksanakan

Bagi Jerantut, jalan yang masih ditutup, iaitu Jalan Jerantut ke Felda Kota Gelanggi, Jalan Jerantut - Lipis, Jalan Bukit Puas ke Gintong, Jalan Pulau Tawar ke Durian Hijau, Jalan Sungai Lekok ke Jeransong, Jalan Ulu Retang ke Merting dan Jalan Sungai Yap ke Pasir Tambang.

"Di Raub pula, jalan yang ditutup ialah Jalan Sengkela ke Chenua, Jalan Bentong ke Gua Musang dan Jalan Ulu Renggol manakala di Bentong membabitkan jalan Karak ke Simpang Pelangai dan jalan utama Mempaga.

Di Maran jalan yang ditutup ialah JalanMaran ke Jerantut, Jalan Serengkam dan Jalan utama Jengka Utara manakala

di Kuantan, ditutup ialah Jalan Sungai Lembing, Jalan Kuantan ke Endau, Jalan Air Hitam ke Teluk Mahang, Jalan Panching Utara dan Jalan Kuala Lumpur ke Kuantan.

"Beberapa laluan di Lipis juga masih ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan, iaitu Jalan Bukit Kota ke Aur Gading dan Jalan Lipis ke Jerantut," katanya.

Menurutnya di Temerloh jalan yang ditutup ialah Temerloh ke Kuala Lumpur, Temerloh ke Gemas, Temerloh ke Mentakab dan jalan Loji Air Batu Sawar.

Di Bera, Jalan yang ditutup ialah Jalan Bera ke Temerloh, Jalan utama gugusan Bera dan jalan Bohor Baharu sementara di Bentong jalan yang ditutup ialah Jalan Karak ke Simpang Pelanggai manakala di Pekan jalan yang ditutup ialah Jalan Mentega ke Terapai.

Berita Harian X