Rabu, 22 Disember 2021 | 5:09pm
Mangsa banjir Taman Seri Muda Seksyen 25, Muhammad Syafiq Nuruddin, 25, mengemas rumahnya selepas banjir di sebahagian kawasan perumahan berkenaan mulai surut hari ini. - Foto BERNAMA
Mangsa banjir Taman Seri Muda Seksyen 25, Muhammad Syafiq Nuruddin, 25, mengemas rumahnya selepas banjir di sebahagian kawasan perumahan berkenaan mulai surut hari ini. - Foto BERNAMA

Mangsa banjir Taman Sri Muda perlukan makanan kering

SHAH ALAM: Mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25 dekat sini, memerlukan sumbangan makanan kering dan minuman seperti air mineral; mi segera; alat pembersihan diri; lampin pakai buang dan susu formula.

Pengurus Operasi Pengurusan Kecemasan Bencana Selangor, Shehdi Hazrik Shamsudin, berkata sumbangan pakaian untuk mangsa banjir di kawasan itu tidak lagi diperlukan.

Sebaliknya, Shehdi Hazrik berkata, pihaknya yang turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menguruskan sumbangan, masih menerima sumbangan makanan kering dan barang keperluan harian.

"Pakaian kita tidak perlu sebab yang ada masih banyak dan ia sudah jadi lambakan di tempat pengumpulan bantuan ini.

"Pihak kami memohon sangat kepada semua, hentikan hantar pakaian terpakai dan fokus kami adalah bantuan makanan seperti biskut, maggi, makanan kering," katanya pada media di pusat pengumpulan bantuan banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, hari ini.

Beliau berkata, makanan yang sudah diproses akan diuruskan oleh JKM dengan jabatan tersebut sudah mempunyai peruntukan khusus.

– BERNAMA

Berita Harian X