Rabu, 22 Disember 2021 | 2:22pm
Abd Hamid (dua dari kiri) menyertai gotong-royong membersihkan kawasan perumahan penduduk yang ditimpa banjir di Taman Emas, Dengkil. - Foto NSTP/Samadi Ahmad
Abd Hamid (dua dari kiri) menyertai gotong-royong membersihkan kawasan perumahan penduduk yang ditimpa banjir di Taman Emas, Dengkil. - Foto NSTP/Samadi Ahmad

Kutipan sampah meningkat 10 kali ganda selepas banjir

Dengkil: Kutipan sampah di daerah ini dan Salak menunjukkan peningkatan 10 kali ganda berikutan kejadian banjir yang melanda di kawasan itu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Datuk Abd Hamid Hussin, berkata ketika ini tapak pelupusan sampah Dengkil menjadi sesak disebabkan banyak lori yang keluar masuk sehingga mengambil tempoh lama untuk menunggu giliran.

Beliau berkata, sejak kelmarin kutipan sampah di kedua-dua kawasan terbabit meningkat 10 kali ganda, berbanding kurang daripada satu tan pada hari biasa.

"Berikutan itu, syarikat KDEB Waste Management Sdn Bhd diarahkan untuk meningkatkan kerja kutipan sampah banjir di daerah ini bermula semalam (kelmarin).

"Air mulai surut di beberapa kawasan kediaman penduduk dan mereka sudah mula membersih serta mengeluarkan barangan yang rosak di luar kawasan rumah.

"MPSepang mencadangkan pihak kontraktor untuk mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk dijadikan pusat sementara bagi melonggokkan barangan elektrik dan perabot yang rosak sebelum dihantar ke kawasan pusat pelupusan bagi mengelak kesesakan longgokan sampah di kediaman penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai gotong-royong membersihkan Surau Al-Jabar di Taman Emas, di sini, semalam.

Program disertai lebih 50 kakitangan MPSepang itu turut membabitkan sukarelawan daripada Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Abd Hamid berkata, pihaknya dimaklumkan sebanyak 60 tan sampah dihantar ke pusat pelupusan kelmarin dan jumlah itu dijangka meningkat selepas semua penduduk pulang ke rumah.

"Pihak kontraktor juga sudah meletakkan 34 unit tong sampah besar di kawasan Dengkil dan Salak bagi memudahkan penduduk meletakkan barangan yang rosak.

"Kita berharap penduduk dapat memberi kerjasama untuk meletakkan barangan yang rosak ke dalam tong sampah yang disediakan bagi memudahkan dan mempercepatkan kerja pembersihan," katanya.

Berita Harian X