Rabu, 22 Disember 2021 | 1:53pm
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din (kiri) melawat lokasi banjir di Hulu Langat, Selangor semalam bagi meninjau kerja-kerja TNB memulihkan infrastruktur bekalan yang turut terkesan akibat banjir. - Foto TNB
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din (kiri) melawat lokasi banjir di Hulu Langat, Selangor semalam bagi meninjau kerja-kerja TNB memulihkan infrastruktur bekalan yang turut terkesan akibat banjir. - Foto TNB

TNB peruntuk RM44 juta baik pulih, bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan peruntukan kecemasan berjumlah RM44 juta untuk membaik pulih dan membantu mangsa banjir dari segi keperluan asas dan penyaluran bekalan elektrik menggunakan set janakuasa bergerak.

Selain itu, TNB turut menggerakkan 2,000 warga kerjanya di seluruh Semenanjung dalam usaha memulihkan semula bekalan terutama memulihkan pencawang dan aset lain dengan mengujinya untuk memastikan ia selamat sebelum menyalurkan bekalan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Baharin Din, berkata sebanyak tambahan RM4 juta daripada peruntukan RM44 juta itu adalah bantuan kewangan yang akan diagihkan melalui Tabung Bencana GLC/GLIC Disaster Response Network (GDRN) dan pengagihan oleh Tabung Warga TNB Prihatin.

Beliau yang turut mengadakan tinjauan keadaan di Hulu Langat, turut mengingatkan orang ramai bahawa bekalan elektrik hanya dapat disambung semula apabila pepasangan TNB termasuk pencawang elektrik dan meter di premis pengguna kering dan dipastikan selamat.

"Sehingga hari ini, 419 daripada sejumlah 853 pencawang elektrik yang dihenti tugas sementara di Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sudah dapat dipulihkan berikutan air surut di beberapa daerah di negeri berkenaan.

"Bagaimanapun bagi keadaan yang mana air sudah surut, namun pencawang elektrik di kawasan itu masih ditenggelami air dan masih dihenti tugas, TNB tidak boleh lagi menyambung bekalan di kawasan tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, faktor keselamatan awam sentiasa menjadi pertimbangan utama dalam usaha pemulihan bekalan.

Namun, katanya, setakat ini bekalan elektrik di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mangsa banjir berada dalam keadaan baik.

"Sebanyak 232 set janakuasa berada dalam keadaan tunggu sedia untuk digerakkan ke kawasan yang terjejas akibat banjir sekiranya bekalan tidak dapat diberikan melalui sistem grid," katanya.

Sementara itu, dalam lawatan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan ke Taman Sri Muda, Shah Alam, semalam, beliau amat menghargai semua tindakan segera TNB termasuk menyediakan sokongan tenaga kerja serta logistik seperti bot dan kenderaan yang disifatkannya sebagai pengorbanan serta sumbangan kepada negara.

Beliau turut dimaklumkan warga kerja teknikal TNB termasuk pasukan kerja tambahan dari luar Lembah Klang dan mereka yang menganggotai 70 Rejimen Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera DiRaja (RAJD) sedang bertungkus lumus memulihkan infrastruktur bekalan termasuk membaik pulih kabel rosak, tiang tumbang disebabkan mendapan tanah atau dihanyutkan arus.

Malah, RAJD digerakkan lebih awal sebaik banjir melanda untuk bersama-sama agensi penyelamat memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat, khususnya ke PPS.

Lawatan Takiyuddin berjalan lancar seperti dirancang untuk meninjau kawasan dilanda banjir dan kerja-kerja TNB menyalurkan tenaga melalui janakuasa bergerak bagi mengepam air keluar daripada kawasan kediaman, memulihkan infrastruktur bekalan yang rosak di samping menyampaikan bantuan kepada mangsa yang terjejas.

Beliau turut menyarankan kepada mereka yang kembali ke kediaman selepas terjejas dengan banjir supaya memeriksa pendawaian di dalam premis masing-masing dengan mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST).

"Bekalan tidak boleh disambung begitu sahaja kerana penduduk perlu memastikan keadaan rumah mereka bersedia menerima bekalan elektrik.

"Pendawaian dan peralatan elektrik yang ditenggelami air mungkin terjejas serta perlu dibersihkan dan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

"Selain itu, fius atau pemutus litar perlu dibersihkan dari kekotoran dan diganti dengan yang baru jika perlu, manakala soket alir keluar (outlet) yang ditenggelami air perlu berada dalam keadaan kering dan bersih supaya selamat digunakan," katanya.

Orang ramai yang ternampak kejanggalan atau mempunyai keraguan berkaitan pepasangan TNB yang terkesan akibat banjir, boleh menghubungi TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X