Rabu, 22 Disember 2021 | 12:30pm

Tangguh bayaran bantuan khas guru tidak wajar - i-Guru

KUALA LUMPUR: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) tidak bersetuju penangguhan bayaran Bantuan Khas Kewangan 2022 dan meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menggunakan pendekatan harmoni bagi menangani kumpulan guru yang enggan divaksin.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan, berkata penangguhan itu amat tidak wajar seolah tiada keadilan kepada golongan terbabit atas sumbangan bakti mereka dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

"KPM perlu menggunakan pendekatan harmoni dan berhemah untuk menangani kumpulan guru anti vaksin, bukannya terus menangguh pembayaran bantuan khas ini.

"Selepas apa yang dilalui guru selama tempoh dua tahun ini, termasuk cabaran dalam PdPR, mereka (KPM) perlu segera memperhalusi segala tindakan dan langkah yang akan dilakukan kepada guru yang enggan divaksin," katanya kepada BH.

BH semalam melaporkan, pembayaran Bantuan Khas Kewangan 2022 akan ditangguhkan bagi penjawat awam yang tidak mendapatkan dos lengkap vaksinasi COVID-19.

Arahan penangguhan bayaran bantuan RM700 itu terkandung dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang bertarikh kelmarin.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, dilaporkan berkata hanya pegawai yang tidak mendapatkan suntikan vaksin berkenaan atas sebab kesihatan dan memperoleh pengesahan pengamal perubatan berdaftar, dikecualikan daripada arahan terbabit.

Mohd Azizee berkata, setakat ini tiada kenyataan jelas mengenai tindakan dikenakan terhadap guru yang enggan divaksin daripada KPM.

"i-Guru menunggu tindakan lanjut daripada kementerian dan berharap mereka mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak demi kebaikan serta kelestarian ekosistem pendidikan negara.

"Tindakan jelas dan telus itu juga demi kelancaran pengajaran dan pembelajaran di sekolah yang bakal dibuka tidak lama lagi," katanya.

Berita Harian X