Rabu, 22 Disember 2021 | 10:52am

'Tolong jangan lalu jalan ini'

RANTAU PANJANG: "Tolonglah jangan lalu jalan ini kerana arus yang deras akibat dilalui kenderaan berat boleh merosakkan rumah kami yang sudah ditenggelami banjir," rayu Junaidah Awang Senik, 59.

Junaidah antara 300 mangsa banjir di Kampung Tersang, di sini, yang diuji dengan bah yang agak teruk sehingga rumahnya kini hanya tinggal bumbung dan tidak selamat untuk diduduki.

Katanya, jalan di kampung berkenaan digenangi air separas 0.3 sehingga 0.5 meter menyebabkan banyak pemilik kenderaan berat yang mengambil peluang melalui kawasan berkenaan tanpa mengetahui kesan buruk kepada penduduk terutama yang tinggal di tepi jalan.

"Apabila kenderaan lalu, arus deras menimpa rumah kami malah ada yang sudah tercabut pintu kerana kebanyakan kediaman di sini hanya rumah kayu. Lebih membimbangkan, jika ia terus berlaku rumah kami boleh ranap dibawa arus banjir.

"Tambahan pula, ada sahaja jalan lain untuk dilalui yang tidak digenangi air. Saya faham, mungkin kerana ramai yang mahu melihat sendiri suasana di sini, tetapi mereka perlu faham situasi sekarang yang membahayakan.

"Penduduk terpaksa tunggu di atas jalan untuk menegur mana-mana individu yang datang agar berpatah balik kerana risau keadaan rumah," katanya ketika ditemui di Kampunh Tersang, di sini.

Kenderaan pacuan empat roda yang melalui kawasan banjir boleh merosakkan rumah penduduk yang digenangi air di kampung di Kampung Tersang. Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Kenderaan pacuan empat roda yang melalui kawasan banjir boleh merosakkan rumah penduduk yang digenangi air di kampung di Kampung Tersang. Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Tinjauan ke Kampung Tersange juga mendapati, penduduk terpaksa menggunakan inisiatif meletakkan tong sampah berisi barangan berat di tengah-tengah jalan agar tidak dilalui kenderaan.

Junaidah berkata, orang kampung mengalu-alukan orang ramai yang mahu melihat sendiri nasib mereka tetapi biarlah hanya berjalan kaki mengharungi air kerana cara itu lebih baik.

"Malah, sejak banjir ini berlaku, ada sahaja badan bukan kerajaan (NGO) yang hadir menghantar bantuan yang mana mereka juga mengangkat barangan sumbangan dengan berjalan atau menaiki perahu meredah banjir dari rumah ke rumah.

"Cukuplah kami diuji dengan sesetengah rumah kini hanya tinggal bumbung kerana digenangi air, jangan tambahkan lagi kesedihan kami yang kehilangan harta benda akibat bencana kali ini.

"Bagaimanapun, saya mewakili penduduk Kampung Tersang mengucapkan terima kasih kepada anggota keselamatan yang sentiasa datang memantau termasuk pihak yang menghulurkan bantuan," katanya.

Junaidah Awang Senik menunjukkan rumahnya hanya tinggal bumbung kerana digenangi air ketika ditemui di Kampung Tersang, di sini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Junaidah Awang Senik menunjukkan rumahnya hanya tinggal bumbung kerana digenangi air ketika ditemui di Kampung Tersang, di sini. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X