Rabu, 22 Disember 2021 | 10:03am
Tinjauan di sungai Kelantan banjir di kebanyakan kawasan kembali pulih sepenuhnya hari inI. - Foto NSTP/Nik Abdulllah Nik Omar
Tinjauan di sungai Kelantan banjir di kebanyakan kawasan kembali pulih sepenuhnya hari inI. - Foto NSTP/Nik Abdulllah Nik Omar

Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menurun

KOTA BHARU: Mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan kepada 2,496 orang daripada 785 keluarga sehingga jam 9 pagi ini, berikutan cuaca baik sejak tiga hari lalu.

Kesemua mangsa berada di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah iaitu Pasir Mas dan Kuala Krai.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mangsa banjir di Pasir Mas juga turun sedikit kepada 2,247 orang dan ditempatkan di 10 PPS berbanding 2,276 orang 5 petang, semalam.

Selain itu, mangsa banjir di Kuala Krai juga berkurangan kepada 249 orang yang berada di lima PPS berbanding semalam, 370 orang.

Menurut portal eBanjir Kelantan, sembilan jalan masih ditutup iaitu lima di Pasir Mas, tiga di Kuala Krai dan satu di Tanah Merah.

Paras air sungai Kelantan mulai surut menyebabkan kebanyakan kawasan pulih sepenuhnya hari ini - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Paras air sungai Kelantan mulai surut menyebabkan kebanyakan kawasan pulih sepenuhnya hari ini - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Antara jalan yang masih ditutup ialah Jalan Jirat, Jalan masuk ke Kampung Baru Pahi, Jalan Bukit Sireh/ Kampung Bedal/ Kuala Nal di Kuala Krai, Jalan Balai Polis Jeram Perdah, Jalan Pengkalan Rakit- Batu Karang, Jalan Sekolah Cina dan Jalan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di Pasir Mas serta Jalan ke Loji Membersih Air Bukit Remah di Tanah Merah.

Sementara itu, Sungai Golok masih berada di paras bahaya dengan bacaan 9.46 meter (m), manakala dua sungai lagi iaitu Sungai Lebir di Tualang dan Sungai Kelantan di Tangga Krai berada di paras berjaga masing-masing bacaan 28.50m dan 20.11.

Enam sungai lain di paras normal iaitu Sungai Galas di Dabong, Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tambatan Diraja, Sungai Golok di Jenob, Kuala Jambu dan Sungai Semerak di Pasir Puteh.

Berita Harian X