Selasa, 21 Disember 2021 | 11:45pm
Tinjauan di kawasan terjejas banjir di Hulu Langat berikutan hujan berterusan sehingga mengakibatkan beberapa kawasan penempatan penduduk terjejas. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Tinjauan di kawasan terjejas banjir di Hulu Langat berikutan hujan berterusan sehingga mengakibatkan beberapa kawasan penempatan penduduk terjejas. NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali

Banjir besar kini ragut 27 nyawa

KUALA LUMPUR: Banjir besar yang melanda negara sejak Sabtu lalu, sehingga kini mengorbankan 27 nyawa, jumlah yang boleh dianggap paling tinggi sejak banjir besar pada 2014.

Dua puluh daripadanya di Selangor manakala tujuh orang lagi di Pahang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata sehingga petang Selasa, sebanyak 20 individu dikenal pasti menjadi korban banjir di negeri itu.

Selain di Seksyen 25 Taman Sri Muda Shah Alam, mayat mangsa banjir turut ditemui di Kajang, Sungai Buloh dan terbaru di Klang.

Di kawasan yang paling teruk dilanda banjir di Selangor iaitu Seksyen 25 Taman Sri Muda, sembilan mayat dijumpai oleh pasukan penyelamat sejak Sabtu lalu sehingga awal pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata enam daripada mayat berkenaan ditemui di dalam beberapa rumah membabitkan lima wanita dan seorang lelaki, manakala tiga lagi mayat ditemui sekitar Taman Sri Muda selepas air mulai surut.

"Mangsa pertama, seorang lelaki dewasa ditemui pada jam 6 petang Sabtu manakala dua mangsa lelaki ditemui keesokannya pada jam 12 tengah hari dan 2 petang, lima mayat ditemui semalam antara jam 12 tengah hari dan 8.35 malam membabitkan empat wanita dewasa dan seorang lelaki dewasa," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Norazam berkata, mayat seorang wanita lagi ditemui pada jam 6.20 petang di sebuah rumah setingkat. Wanita itu dipercayai mati lemas.

Tiga mayat mangsa lemas turut ditemui di sekitar bandar raya itu, masing-masing di lampu isyarat Kemuning Utama, Seksyen 33; di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22 pada Ahad lalu; dan di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13, semalam.

Korban banjir di Pahang pula membabitkan dua di Kuantan, manakala lima lagi di Bentong.

Kejadian di Bentong membabitkan fenomena kepala air di dua kawasan iaitu di kawasan sebuah pusat peranginan - satu mayat ditemui, dua masih hilang - dan di Telemong yang membabitkan penduduk kawasan itu dan sehingga petang ini empat mayat ditemui manakala seorang masih hilang.

Pada 2014, banjir besar yang melanda lima negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Perak dan Johor mengorbankan 21 orang di Kelantan, Terengganu dan Pahang, manakala 10 orang dilapor hilang.– BERNAMA

Berita Harian X