Selasa, 21 Disember 2021 | 7:25pm
Rang undang-undang dilulus sebulat suara selepas bacaan kali ketiga. - Foto fail NSTP
Rang undang-undang dilulus sebulat suara selepas bacaan kali ketiga. - Foto fail NSTP

Dewan Negara lulus Bajet 2022

KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 (Bajet 2022).

Rang undang-undang itu diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Rang Undang-undang Perbekalan 2022 itu melalui tempoh tiga hari perbahasan dan penggulungan oleh 27 kementerian selepas dibentangkan di Dewan pada 14 Disember.

Rang undang-undang itu yang juga belanjawan pertama di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diluluskan di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat pada 13 Disember, selepas 13 hari tempoh perbahasan dan penggulungan bermula 22 November bagi setiap kementerian terbabit.

Dewan Rakyat meluluskan Bajet 2022 di peringkat dasar pada 18 November.

Sementara itu, Dewan Negara turut meluluskan Rang Undang-undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 yang bersifat lebih responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah hidupan liar.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Ali Biju setelah dibahaskan oleh tujuh senator.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

– BERNAMA

Berita Harian X