Selasa, 21 Disember 2021 | 7:25pm
(Gambar hiasan) Penduduk di Hulu Langat membersihkan rumah mereka yang dilanda banjir. - NSTP/AZHAR RAMLI
(Gambar hiasan) Penduduk di Hulu Langat membersihkan rumah mereka yang dilanda banjir. - NSTP/AZHAR RAMLI

Elak penyakit berjangkit berkaitan banjir - Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan untuk mengelakkan penyakit berjangkit berkaitan banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan selain kemungkinan berlaku peningkatan kes COVID-19, KKM juga menjangkakan peningkatan kejadian penyakit berjangkit berkaitan bencana alam itu.

Dalam satu kenyataan melalui Facebook, hari ini, beliau turut kongsikan infografik serta langkah keselamatan terperinci yang boleh diambil orang ramai dalam menghadapi situasi berkenaan.

Antaranya, penggunaan alat pelindung diri seperti but dan sarung tangan getah ketika melakukan kerja pembersihan banjir lumpur, bagi mengurangkan risiko penyakit berjangkit seperti leptospirosis (kencing tikus), melioidosis, dan lain-lain penyakit bawaan air serta makanan.

"Orang ramai dinasihatkan mengambil air minuman dan makanan yang bersih serta tidak tercemar, bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, taun (kolera), hepatitis A dan demam kepialu (tifoid)," katanya.

Beliau turut memaklumkan, KKM menyediakan pasukan perubatan di pusat pemindahan sementara (PPS) yang membekalkan ubat-ubatan asas, cecair pembasmi kuman dan pelitup muka kepada mangsa banjir.

Katanya, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera daripada pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, batuk dan sebagainya.

Beliau berkata, ujian saringan COVID-19 juga akan dilakukan terhadap mangsa banjir sebelum memasuki PPS, bagi mengesan jangkitan awal serta memastikan tiada penularan virus itu berlaku di kawasan berkenaan. – BERNAMA

Berita Harian X