Selasa, 21 Disember 2021 | 7:02pm

Pindaan Perkara 161A jamin status anak negeri Sarawak

KUALA LUMPUR: Generasi muda Sarawak berpotensi kehilangan 'status anak negeri' jika kedudukan istimewa itu di bawah Perkara 161A (6) & (7) Perlembagaan tidak dipinda.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ketika ini seseorang akan diiktiraf sebagai anak negeri Sarawak apabila kedua-dua ibu bapanya daripada kumpulan anak negeri itu seperti ditetapkan Perlembagaan.

Katanya, di bawah Perkara 161A (6), seseorang yang menjadi warganegara adalah anak negeri Sarawak apabila kedua-dua ibu bapanya adalah anak negeri seperti yang disenaraikan di bawah Perkara 161A(7).

"Namun, berdasarkan undang-undang itu, ramai kanak-kanak daripada perkahwinan campur tidak diiktiraf sebagai anak negeri dan oleh itu tidak dapat menikmati hak dan keistimewaan sebagai anak jati Sarawak.

"Sebab itu kita perlu menyemak dan meminda undang-undang ini bagi memastikan generasi muda Sarawak tidak akan kehilangan apa yang menjadi milik mereka," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, artikel itu hanya mengiktiraf 28 kumpulan etnik di Sarawak sedangkan terdapat lebih 70 kumpulan etnik di negeri itu.

"Maka, jika tidak ditangani dengan sewajarnya, ini akan menjadi masalah besar kerana hampir satu pertiga penduduk Sarawak keturunan campuran dan kahwin campur adalah perkara biasa di sini," katanya.

Beliau menjelaskan, di bawah Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini, Perkara 161(A) turut dicadang untuk dipinda bagi memberi status anak negeri kepada anak-anak perkahwinan campur.

"Dengan pindaan ini, kuasa memutuskan kaum mana di Sarawak yang akan diiktiraf sebagai pribumi akan ditentukan melalui undang-undang negeri.

"Rang undang-undang itu dijadualkan dibentangkan untuk bacaan kedua dan ketiga di Dewan Negara pada 23 Disember ini," katanya.

Berita Harian X