Selasa, 21 Disember 2021 | 6:50pm
Situasi hari ini di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang dilanda banjir besar Sabtu lalu. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Situasi hari ini di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam yang dilanda banjir besar Sabtu lalu. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Tak sangka banjir besar dipercayai antara punca ramai terperangkap

SHAH ALAM: Menyangkakan banjir akan surut dalam beberapa jam seperti biasa, dipercayai punca ramai penduduk Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini, terperangkap dalam kediaman masing-masing sejak Sabtu lalu.

Selain itu, banjir yang amat luar biasa dan paras air yang naik mendadak di beberapa kawasan jarang mengalami bencana itu menyebabkan penduduk tidak sempat berpindah dan menyelamatkan diri.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis ketika menjelaskan demikian kepada BH hari ini, berkata pada peringkat awal, ramai penduduk tidak mahu berpindah kerana paras air masih rendah dan mungkin tidak menyangka disusuli banjir besar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis (duduk kiri) menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, semalam. - NSTP/FAIZ ANUAR
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis (duduk kiri) menghulurkan bantuan makanan kepada mangsa banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, semalam. - NSTP/FAIZ ANUAR

"Hujan lebat bermula sejak petang Jumaat di kebanyakan kawasan di Selangor dan ada kawasan sudah mula ditenggelami air ketika itu, namun tidak serius. Menjelang malam, hujan tidak berhenti dan berterusan hingga pagi. Lewat petang Jumaat, bomba menerima laporan pertama banjir sekitar Klang dan tumpu kerja memindah serta menyelamat mangsa di daerah itu," katanya.

Katanya lagi, hampir 5,000 mangsa di Klang yang terjejas banjir, antaranya di Pelabuhan Klang, Kapar, Sungai Pinang, Andalas, Kota Raja, Teluk Gong, Pulau Indah berjaya dipindahkan, selain lebih 1,000 mangsa di Bukit Lanchung sebelum mula menerima panggilan kecemasan daripada mangsa banjir sekitar daerah Petaling dan Shah Alam termasuk Sri Muda.

"Oleh kerana banjir membabitkan hampir seluruh Selangor, kita tidak dapat penuhi semua panggilan kecemasan yang diterima, terutama pada peringkat awal kejadian pada Sabtu," katanya menjelaskan, mangsa banjir yang mulanya enggan berpindah, akhirnya terpaksa meminta bantuan selepas paras air meningkat tinggi hingga ada yang melebihi paras 1.8 meter.

"Masa itu, jumlah anggota dan aset terutama bot agak terhad hingga memaksa kami minta bantuan bomba negeri berhampiran, termasuk Kuala Lumpur, namun banjir juga melanda beberapa kawasan di ibu negara," katanya.

Situasi di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.
Situasi di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam, hari ini. - NSTP/ASWADI ALIAS.

Tambah Norazam, pada awalnya, lebih 1,000 penduduk di Taman Sri Muda berjaya diselamatkan, namun jumlah kediaman melebih 4,400 buah, tidak termasuk kediaman tinggi seperti flat dan apartmen, menyebabkan kerja penyelamatan mengambil masa.

"Hari seterusnya, mula terima bantuan agensi kerajaan lain, orang perseorangan, pertubuhan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang turut serta menyelamat dan memindahkan mangsa dan ini amat membantu pasukan bomba. Pada masa sama, ada bantuan tanbahan anggota dan aset termasuk bot bomba negeri lain antaranya Pulau Pinang, Kedah, Johor serta Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, katanya, sehingga awal pagi tadi, lebih 3,300 penduduk di Taman Sri Muda berjaya diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selain ada ada yang menumpang di rumah saudara-mara, namun ada juga enggan berpindah mungkin bimbang jangkitan COVID-19 di PPS.

"Ada yang mahu jaga harta benda masing-masing, termasuk mereka yang tinggal di flat, pangsapuri dan apartmen, mungkin berasa lebih selesa berbanding di PPS walaupun tiada bekalan elektrik. Bagaimanapun, ramai terputus bekalan makanan dan mengharapkan pasukan penyelamat serta pasukan bantuan untuk mengagihkan kepada mereka," katanya.

Tambah beliau, perkara itu sedikit sebanyak mengambil masa dan tenaga anggota bomba yang mana tugas utama mereka adalah menyelamatkan mangsa-mangsa yang masih terperangkap dan perlu dipindahkan, namun pasukan itu sedaya upaya cuba membantu mereka dan membawa bersama bekalan makanan semasa kerja penyelamatan.

"Selain itu, kita dapat bantuan pelbagai pihak luar yang datang mengagihkan makanan kepada mangsa menggunakan bot masing-masing," katanya.

Berita Harian X